Dec 27, 2008

Mimpi Bertemu Rasulullah SAW

Assalamu'alaikum, Ustaz dan ahli panel yang lain.

Dalam membaca hadis2 nabi, saya begitu tertarik dengan 2 hadis dibawah:

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menjelma dengan rupaku.

Hadis Abu Qatadah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya maka dia benar-benar melihat sesuatu yang benar.

Minta Ustaz beri penjelasan berkenaan hadis tersebut.

Sekian terima kasih.


وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************

Alhamdulillah, berdasarkan butiran-butiran berikut adalah merupakan jawapan-jawapan bagi setiap soalan yang diajukan menurut pengetahuan kami yang sedikit , yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala :

HADIS PERTAMA :

Menurut pemeriksaan kami terhadap beberapa kitab hadis ( Jami’e As-Soghir oleh Imam As-Suyuthi & Fathul Bari : Syarah Sahih Imam Al-Bukhari oleh Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqolaniy ) dan juga melalui cakera padat (cd) yang mempunyai program pencarian sumber hadis ( Takhrij Al-Ahadist ) ternyata hadis pertama yang saudara bawakan itu, BUKANLAH diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah (r.a), tetapi sebenarnya, ianya diriwayatkan oleh Saidina Anas (r.a), iaitu :

حَدِيثُ أنس رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَتَمَثَّلُ بِي

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “ Barangsiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menjelma dengan rupaku “. { { Jami’e As-Soghir Imam Suyuthi : 8688 , Musnad Imam Ahmad : 3 / 269 , Sahih Al-Bukhari : 12 / 6994 , Sunan At-Tirmidzie : 4 / 2276 ) –HADIS HASSAN SAHIH.

Adapun hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah ialah dengan mempunyai tambahan kalimah : “ FIL YAQODZAH “ …ertinya : “ Di dalam keadaaan sedar “. Dan hadisnya secara teks aslinya adalah sebagai berikut :

حَدِيثُ أبي هريرة رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَسيرَانِي في اليقظة , و لَا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانَ بِي

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “ Barangsiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia akan dapat melihatku di dalam keadaan sedar. Sesungguhnya tidak boleh syaitan menjelma dengan rupaku “. { Jami’e As-Soghir Imam Suyuthi : 8690 , Sahih Al-Bukhari : 12 / 6993 , Sahih Muslim : 4 / 2266 . Sunan Abu Dawud : 4 / 5023 }. – HADIS SAHIH .

HADIS KEDUA :

Manakala hadis kedua yang saudara bawakan itu, teks aslinya adalah sebagaimana berikut :

حَدِيثُ أَبِي قَتَادَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَآنِي فَقَدْ رَأَى الْحَقَّ

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya maka dia benar-benar melihat sesuatu yang benar { { Jami’e As-Soghir Imam Suyuthi : 8689, Sahih Al-Bukhari : 12 / 6996 , Musnad Ahmad 5 / 306 , Sahih Muslim 4 / 2267 }.

***********************

PANDANGAN AL-IMAM ASY-SYAHID HASSAN AL-BANNA ( RH ) MENGENAI PERMASALAHAN MIMPI DAN SEUMPAMANYA :

Kami berasa amat perlu diterangkan di sini pandangan Imam Asy-Syahid mengenai permasalahan mimpi ini, disebabkan beliaulah merupakan idola dan pencetus Gerakan Dakwah & Harakah Islam terulung di alam moden ini. Dan sudah pasti, seseorang yang yang mampu melaksanakan perjuangan sebesar itu , adalah seorang yang ‘alim, hinggakan dilihat seluruh dunia mempunyai pewaris-pewaris perjuangannya walaupun hebat ditekan oleh para pendokong Sekularisme : Berhala Moden di abad ini .

Al-Imam Asy-Syahid memperkatakan hal ini di dalam kitabnya yang terkenal : “ RISALAH AT-TA’ALIM “ , di bawah perbicangan Asas ke–3 daripada Usul-1, katanya :

و للإيمان الصادق و العبادة الصحيحة و المجاهدة نور و حلاوة يقذفها الله في قلب من يشاء من عباده . ولكن الإلهام و الخواطر و الكشف و الرؤى ليست من أدلة الأحكام الشرعية و لا تعتبر إلا بشرط عدم إصطدامها بأحكام الدين و نصوصه

Ertinya : Dan iman yang benar, ibadat yang sah, dan mujahadah, semuanya itu mempunyai cahaya dan kemanisan yang dicurahkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa sahaja yang dihendaki-Nya. Manakala ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi itu BUKANLAH menjadi dalil kepada hukum-hakam syariat. Perkara-perkara tersebut hanya dapat diterima dengan syarat perkara-perkara tersebut tidak bertentangan dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya.

***********************

BEBERAPA KISAH TELADAN MENGENAI MIMPI – MIMPI :

( 1 ) KISAH -I :

Kisah Khalifah Al-Mahdi Al-‘Abbasi hendak membunuh Qadhi Syarif Ibni Abdullah :

Tatkala Qadhi tersebut mengadap khalifah , maka baginda pun bercadang untuk memenggal tengkuknya. Lalu Qadhi bertanya : “ Apakah salah hamba wahai tuanku !? “.

Khalifah pun menjawabnya : “ Aku bermimpi melihat engkau yang berpaling daripada mengadapku . Lalu aku pun bertanya kepada ahli ta’abir ~ penafsir ~ mimpiku akan apakah maksudnya mimpiku itu, dan dia pun berkata : Sebenarnya qadhi itu berpura-pura mentaati tuanku tetapi hatinya menyimpan kebencian yang mendalam terhadap tuanku ! “.

Lalu Qadhi Abdullah pun menjawab kembali : “ Wahai tuanku ! Tuanku bukanlah seorang seperti Nabi Ibrahim a.s yang mendapat mimpi yang sangat benar, dan ahli ta’abir mimpi tuanku itu juga, bukanlah seorang ahli ta’abir mimpi yang benar-benar ‘arif seperti Nabi Yusuf a.s ! “.

Akhirnya, Khalifah Al-Mahdi pun melepaskan Qadhi Abdullah.

( 2 ) KISAH KE-II
Imam Ibnu Hazm (rh) pernah menceritakan :

Pernah ada seseorang yang bermimpi bahawa dia terlihat Saidina Umar Al-Khattab (r.a) yang mengadap Baginda Rasulullah s.a.w, tetapi baginda s.a.w tidak mahu menerima kunjungan Saidina Umar (r.a) itu, lalu beliau (r.a) pun bertanya darihal mengapakah Baginda s.a.w berkelakuan begitu terhadapnya, maka Baginda s.a.w pun bersabda : “ Aku berpaling daripadamu wahai Umar !, disebabkan engkau telah membatalkan puasamu dengan menciumi isterimu tadi !!! “.

Imam Ibnu Hazm ( rh ) memberikan komentarnya terhadap mimpi ini dengan katanya : “ Sesungguhnya mimpi seperti ini adalah BATIL ( tertolak ) !!! kerana bertentangan dengan sebuah hadis yang sahih riwayat Imam Abu Daud (rh) , bahawa di dalam keadaan berpuasa, pernah Saidina Umar (r.a) mencium isterinya, lalu beliau (r.a) pun mengadu hal tersebut kepada Baginda s.a.w dengan katanya : “ Wahai Rasulullah !, adakah batal puasaku disebabkan aku mencium isteriku di dalam keadaan aku berpuasa ? “.

Jawab Baginda s.a.w : “ Wahai Umar !, andainya engkau berkumur-berkumur di dalam keadaan berpuasa, adakah batal puasamu ? “.

Jawab Saidina Umar : “ Itu tidak membatalkan puasa “.

Rasulullah s.a.w pun menerangkan kepadanya : “ Maka begitulah juga halnya dengan perbuatanmu mencium isterimu, tidaklah membatalkan puasamu “.

( 3 ) KISAH KE - III
Imam Al-Ghazali (rh) pernah menceritakan :

“ Pernah ada beberapa penduduk kampung bermaksud hendak membunuh seorang soleh di kampung itu gara-gara ada di kalangan mereka yang bermimpi bertemu dengan Iblis, lalu ditanya kepada Iblis : “ Wahai Iblis ! Engkau ini sudah memasuki banyak kampung, tetapi mengapa pula Engkau tidak masuk ke dalam kampung ini ? “.

Jawab Iblis : “ Tak perlulah aku masuk ke dalam kampung kamu semua , disebabkan di dalamnya sendiri aku sudah mempunyai teman – iaitu orang soleh di dalam kampung itu – yang mengatakan bahawa Al-Quran adalah makhluk ! “.

Setelah orang soleh itu mendengar sebab tersebut, maka beliau pun bertanya kepada penduduk-penduduk kampungnya : “ Wahai saudara-saudara sekalian ! Jika kamu semua bertemu dengan Iblis di dalam keadaan jaga – bukannya di dalam keadaan kamu semua bermimpi – lalu Iblis pun mengatakan bahawa sayalah yang mengatakan bahawa Al-Quran itu adalah makhluk. Patutkah kamu percaya akan fatwanya itu ? “.

“ Tidak !!! “ , jawab penduduk-penduduk kampung.

Orang soleh itu melanjutkan soalannya : “ Baiklah, kalau begitu, fatwanya di dalam keadaan kamu semua mimpi juga sudah pasti BUKANLAH LEBIH BAIK daripada fatwanya di dalam keadaan kamu semua sedar !. Adakah patut kamu semua percayakan kata-kata Sang Iblis !? “.

Lalu bersurailah penduduk-penduduk kampung dan selamatlah orang yang soleh itu serta kecewalah Iblis dek kegagalannya mempengaruhi penduduk-penduduk kampung itu.

# CATATAN : Kisah ini dipetik daripada kuliah ‘Allamah Prof. Dr Yusuf Al-Qaradhawie ketika beliau (h.a ) menghuraikan kitab “ Risalah At-Ta’alim “ karangan Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna (rh ).

***********************

KESIMPULANNYA :

1 – Masalah mimpi bertemu ataupun melihat Baginda s.a.w ini, samalah dengan permasalahan karamah, ma’unah, kasyaf, ilham yang benar, mimpi yang hak dan yang seumpamanya. Yang mana semuanya ITU adalah ANUGERAH dan REZEKI daripada Allah Ta’ala ke atas beberapa individu dengan hikmah yang Allah Ta’ala yang Lebih Lagi Maha Mengetahui akan sebabnya.

Oleh kerana itu adalah rezeki dan anugerah Allah Ta’ala, maka tidaklah selayaknya, orang yang diberikan mimpi sedemikian rupa, menceritakannya kepada orang lain dengan tujuan untuk RIYA’ , TAKBUR, dan seumpamanya, apatah lagi jika ianya diceritakan dengan maksud untuk mengeksploitasi ataupun mempergunakannya dengan tujuan untuk menipu manusia ataupun melakukan apa-apa yang bertentangan dengan dasar-dasar syariat, terutamanya Al-Quran dan As-Sunnah ( al-Hadist ).

2 - Mimpi bertemu ataupun melihat Baginda s.a.w ini juga merupakan satu perkara yang harus dan mungkin sahaja terjadi, samada di zaman dahulu , zaman sekarang ataupun bagi zaman yang mendatang. Dan ada mimpi yang perlu dita’abir ( dihuraikan ) dan ada pula yang tidak perlu dita’abir kerana mimpi itu jelas lagi terang.

3 - Orang yang bertemu ataupun melihat Rasulullah s.a.w melalui mimpi , akan tetap bertemu secara sedar. Hadis ini secara umum memberikan peluang dan khabar gembira kepada setiap orang yang beriman bahawa mereka mempunyai peluang untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w di atas muka bumi ini ( ketika hidupnya Rasulullah s.a.w ) ataupun di hari akhirat kelak.

4 - Orang yang bermimpi itu mestilah juga seorang yang jujur lagi adil ( ertinya ialah Islam ) dan tetap berpegang-teguh ( percaya ) dengan mimpinya itu lagi berpegang-teguh juga dengan ajaran-ajaran Islam, dan juga mestilah juga seorang yang waras dan berkeupayaan untuk menceritakan mimpi tersebut sebagaimana yang dialaminya.

5 - Mimpi dan seumpama dengannya – sebagaimana telah disebut di atas – TIDAK BOLEH MENGHARAMKAN YANG HALAL ATAUPUN MENGHALALKAN YANG HARAM. Dan jauh sekali untuk mengubah syariat Islam yang telah sempurnah di zaman Baginda Rasulullah s.a.w !.

6 - Mimpi ini adalah anugerah dan rezeki daripada Allah Ta’ala untuk menambahkan lagi kekuatan iman dan berjuang di jalan Allah Ta’ala dan juga merupakan peneguh dan penambah kemanisan iman. Kemanisan iman ini bukanlah satu perkara yang boleh dimungkiri sebagaimana manisnya orang yang merasai makanan yang manis ataupun yang bergula.

7 - Apabila terdapatnya perselisihan pendapat mengenai hal ini di kalangan muslimin, maka hendaklah diselesaikan dengan cara yang baik seperti berbincang dan bermuzakarah, bukannya dengan melontarkan tohmahan bahawa lawannya itu adalah orang yang telah menjadi ahli bid’ah ( mubtadi’e ) , kafir dan jauh sekali menjadi seorang yang musyrik !.

8 - Masalah mimpi seperti ini juga BUKANLAH MERUPAKAN USUL ATAUPUN RUKUN IMAN, yang menyebabkan boleh dikafirkan seseorang muslim yang agak kurang selesa untuk menerima hakikatnya !.

9 - Masalah seperti ini juga BUKANLAH DALIL kepada golongan seperti Al-Arqam yang “ beriman “ bahawa Haji Ashaari Muhammad ( Pengasas Al-Arqam ) ataupun Syeikh Abdullah As-Suhaimi telah bertemu dengan Saidina Rasulullah s.a.w di dalam keadaaan sedar, lalu mengambil tareqat mereka yang dikenali sebagai “ Aurad Muhammadiah “ di dalam Ka’abah Al-Musyarrafah. Apatah lagi, kesesatan jemaah ini semakin terserlah apabila berbagai kisah pengasas jemaah mereka yang direka-cipta dengan 1001 macam kisah yang penuh khurafat lagi takhyul serta bid’ah dholalah !.

***********************

Begitulah jawapan-jawapan berdasarkan soalan-soalan yang tersurat, walhal Allah Ta’ala Lebih & Maha Mengetahui setiap apa yang tersirat.

SARANAN RUJUKAN & PEMBACAAN :

1 – AL-JAMIE’ AS-SOGHIR ~ Imam Jalaluddin As-Suyuthi (rh)
Ms 1739, Jilid 4. Terbitan : Maktabah Nazzar Mustafa Al-Baz, Riyadh.

2 – FATHUL BARI ~ Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqolani (rh)
Ms 411, Jilid ke –14, Terbitan : Darul Fikr , Beirut.

3 – AHSANUL KALAM FIL FATAWA WAL AHKAM ~ ‘Allamah Syeikh ‘Atiah Saqr Ms 78, Jilid 2 , Darul Ghad Al-‘Arabiy, Kaherah.

4 – NAZARAT FI RISALAH AT-TA’ALIM
~ Muhammad Abdullah Al-Khatib & Muhammad Abdul Halim Hamid
Ms 64, Darul Tauzie’ Wan Nasyr Islamiah, Kaherah.

5 – USUL DUA PULUH ~ Al-Fadhil Prof. Madya Alias Othman ( UM )
Terbitan : Pustaka Salam, Kuala Lumpur.

Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

2 comments:

gadis kampung said...

mohon share artikle inin...di opis saya sudah timbul perbalahan pedapatan berikutan video dato haron din mimpi betemu rasulllah..ada pihak yg menganggap apa yg dimimpikan oleh haron din itu adalah syaitan kerana kita mana tau wajah rasullah macam ne...itu pendapat mereka,,,saya sudah pembacakan hadis bahawa di atas kepada mereka tetapi mereka tetap nak tegakkan apa yg dipikirkan logik oleh mereka...

Anonymous said...

Bismillahi... padam perkataan idola... jangan guna perkataan idola... lihat maksud perkataan tersebut daripada bahasa inggeris... wAllahu A'alam...

Post a Comment