Jan 23, 2009

Sifat 20

Assalamualaikum wbt.

Saya musykil apakah benar sifat 20 (sifat wajib bagi Allah S.W.T) ini wajib dipelajari oleh setiap umat Islam, padahal tiada nas dan hadis pun mengenai sifat 20. Malah melalui Laman Web Suara Persatuan Ulama, menyebut sifat 20 ini hanyalah sebagai salah satu cara utk mengenal Allah S.W.T dan banyak lagi cara lain untuk mengenal Allah S.W.T sebenarnya. Tambah Laman PUM lagi, Sifat 20 ini pula terkenal di kalangan ahli tasawwuf. Padahal Tasawwuf itu ialah salah satu cabang bid'ah menurut Prof Abu Bakar Jabir melalui bukunya "Kepalsuan Dalam Tasawwuf". Maka bolehkah Sifat 20 ini di kategorikan sebagai satu bid'ah, sedangkan Allah S.W.T sudah mempunyai 99 nama yang baik untuk kita hafal dan pelajari. Jika benar begini, maka sudah tentu kita tidak wajib mempelajari sifat 20.

**************
pendekar
Tajuk ditukar kepada : BOLEHKAH ALLAH TA'ALA DIKENALI TANPA ILMU SIFAT 20 ?

وعليكم السلام و رحمة الله وبركاته
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara fakhrul77 di atas soalan di atas . Sebenarnya kami telahpun menjawab berulang kali mengenai masalah SIFAT 20 ini , lantaran itu kami hanya akan menjawab soalan saudara secara ringkas sahaja .

Soalan saudara :

Saya musykil apakah benar sifat 20 (sifat wajib bagi Allah S.W.T) ini wajib dipelajari oleh setiap umat Islam, padahal tiada nas dan hadis pun mengenai sifat 20. Malah melalui Laman Web Suara Persatuan Ulama, menyebut sifat 20 ini hanyalah sebagai salah satu cara utk mengenal Allah S.W.T dan banyak lagi cara lain untuk mengenal Allah S.W.T sebenarnya.

Jawapan kami :

Tujuan utama mempelajari Ilmu Tauhid / Aqidah ialah untuk mengetahui bagaimanakah hendak kita mentauhidkan Allah Ta’ala dan mengetahui juga setiap perkara yang berkait-rapat dengan Rukun Iman .

Kalau seseorang itu boleh kenal Allah Ta’ala dan Para Nabi a.s TANPA PERLU melalui pelajaran Sifat 20 , maka tidaklah mengapa dia tidak belajar melalui cara itu .

Untuk mengenal Allah Ta’ala dan Para Nabi a.s TIDAKLAH SEMESTINYA secara mempelajari Sifat 20 ataupun dengan menghafal teori-teori Mantiq dan Falsafah .

Para Sahabat r.a , Para Imam Mujtahidin r.a dan Para Salafus Solihin rh itu sendiri tidak belajar TAUHID melalui pelajaran Sifat 20 ini .

Bahkan , Hujjatul Islam , al-Imam al-Ghazali rh yang mengemukakan teori Sifat 20 ini sendiri ( selepas menggabungkan 13 sifat menurut pandangan al-Imam Abul Hassan al-‘Asya’ari rh dengan 7 sifat yang dikemukakan pula oleh al-Imam Abu Mansur al-Maturidi rh ) TIDAKLAH ILTIZAM ( berpegang terus ) dengan teori Sifat 20 itu di dalam mengemukakan pengajian Tauhid .

Lihatlah ke dalam kitabnya yang begitu tersohor : IHYA’ ULUMIDDIN , di bawah tajuk : AQIDAH AHLIS SUNNAH WAL JAMA’AH . Beliau sendiri tidaklah membahaskan permasalahan Tauhid di situ secara teori Sifat 20 .

Begitu juga , sampai ke hari ini , masih ada di kalangan masyarakat Ahlus Sunnah Wal Jama’ah , khasnya di Negara-Negara Teluk yang belajar Tauhid tidak melalui Sifat 20 ini , melainkan melalui cara yang dikenali sebagai “ TAUHID SALAF “ .

Walau bagaimanapun , kami di al-Ahkam Online TIDAKLAH SAMA SEKALI MENENTANG pembelajaran Sifat 20 ini . Teruskanlah pelajaran Tauhid melalui cara itu disamping tidak pula mengabaikan cara-cara pendekatan ilmiah lain di dalam mempersembahkan Ilmu Tauhid kepada masyarakat awam .

Sila Dengar Juga Penjelasan Mengenai Hal ini di dalam :

1 ~ KASET : ASAL – USUL SIFAT 20 { 1 – 2 }
Penyampai : al-fadhil Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat .
Terbitan : Pustaka an-Nadwah , K. Terengganu , Terengganu Darul Iman .


2 ~ KASET : AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMA’AH MENURUT IMAM al-GHAZALI RH { 1- 5 }
Penyampai : al-fadhil Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat .
Terbitan : Pustaka Jafar Rawas , Kota Bharu , Kelantan Darul Naim .

Cukuplah dahulu setakat ini penjelasan kami mengenai hal-hal tersebut . Bagi mereka yang mahu lebih melanjutkan pengetahuan mengenai hal ini , silalah ikuti cadangan kami di atas iaitu dengan menggunakan SEARCH ENGINE ( dengan memasukkan kata-kuncinya dengan salah-satu daripada 5 istilah di atas ) .

Yang lebih baik lagi , sila rujuk kepada sumber-sumber rujukan yang telah dinyatakan di atas .

Soalan saudara selanjutnya :

Tambah Laman PUM lagi, Sifat 20 ini pula terkenal di kalangan ahli tasawwuf. Padahal Tasawwuf itu ialah salah satu cabang bid'ah menurut Prof Abu Bakar Jabir melalui bukunya "Kepalsuan Dalam Tasawwuf".

Jawapan kami :

Tasawwuf itu pada awal-awal kemunculan istilahnya hanyalah merujuk kepada satu latihan untuk menyucikan jiwa dan roh dan merapatkan lagi hubungan seseorang muslim itu kepada Tuhannya ( Allah Ta'ala ) . Namun setelah beberapa masa berlalu , istilah tasawwuf itu telah dikaburi oleh golongan zindiq dan jahil yang memasukkan ajaran-ajaran asing ( yang bukan berasal daripada ajaran Islam ) ke dalam Alam Ilmu Tasawwuf . Akhirnya Ilmu Tasawwuf yang pada asalnya bermakna Ilmu Akhlaq @ Ilmu Memperbaiki Hubungan di antara manusia dengan Allah Ta'ala dan hubungan sesame insan itu sendiri telah bertukar menjadi " semacam " ilmu – ilmu mistik , kebatinan , perbomohan & kedukunan , ilmu supernatural dan seumpamanya .

Imam-Imam pemuka Ilmu Tasawwuf yang asli seperti Al-Imam Junaid al-Baghdadi ( rh ) dan Asy-Syeikh Abdul Qadir al-Jilani ( rh ) biasa memberikan pesanan mereka : " Ilmu kami ini ( tasawwuf ) berkait rapat dengan kitab ( al-Quran ) dan as-Sunnah . Maka , sesiapa sahaja yang tidak menghafaz ( belajar , hafal dan memelihara ) kitab dan tidak pula beramal dengan sunnah , maka mereka bukanlah dari golongan kami "

Mengatakan secara " totok " dan " pukul rata " bahawa TASAWWUF itu adalah bid'ah kerana tiada di zaman Baginda Rasulullah s.a.w adalah satu tuduhan yang menyeleweng . Tasawwuf dalam erti kata akhlaq dan budi-perkerti yang mulia telahpun diajar oleh Baginda Rasulullah s.a.w sendiri , yang memang diutuskan ke alam ini untuk menyempurnakan budi-pekerti .

[b] Kalau TASAWWUF di katakan bid'ah kerana nama itu tiada di zaman Baginda Rasulullah s.a.w , maka bagaimana pula dengan nama-nama ilmu-ilmu seperti FIQH , USUL-FIQH , QOWA'ID FIQHIYYAH , MUSTOLAH HADITS , FARAIDH ( al-MAWARITS ) , SIRAH , dan seumpamanya lagi ??? .

Kalau TASAWWUF itu diertikan sbg mana kebanyakan orang sekarang sebagai sejenis ilmu yang misteri lagi mistik , maka itu sememangnya BID'AH , bahkan ianya telahpun disalah-ertikan .

Ilmu Sifat 20 yang diperkenal oleh al-Imam Abul Hasan al-'Asya'ari rh , Al-Imam Abu Mansur al-Maturidi rh dan al-Imam Abu Hamid al-Ghazali rh TIDAK ADA KENA-MENGENA LANGSUNG dengan ilmu-ilmu mistik dan kebatinan yang diamalkan oleh golongan-golongan sesat di dunia ini , Cuma mereka sahaja yang mengaitkannya sehingga orang menyangka kalau belajar Sifat 20 dah tentu akan jadi golongan batiniyyah @ golongan kebatinan !! .

Ilmu yang benar sekalipun , kalau dieksploitasi oleh golongan yang sesat maka ia akan kelihatan sesat dan karut juga , maka begitulah halnya dengan Ilmu Sifat 20 dan Ilmu Tasawwuf yang telah disalah-ertikan oleh golongan-golongan jahil lagi sesat itu .

Soalan saudara selanjutnya :

Maka bolehkah Sifat 20 ini di kategorikan sebagai satu bid'ah, sedangkan Allah S.W.T sudah mempunyai 99 nama yang baik untuk kita hafal dan pelajari. Jika benar begini, maka sudah tentu kita tidak wajib mempelajari sifat 20.

Jawapan kami :

Mempelajari AQUDAH ( TAUHID ) berdasarkan nama-nama Allah Ta'ala dan sifat-sifat-Nya ini dikenali sebagai " TAUHID ASMA' WAS SIFAT " . Cara inilah LEBIH BAIK DAN LEBIH MEYAKINKAN kerana ia diambil terus daripada al-Quranul Karim dan sunnah Baginda s.a.w , yang tidak disajikan dalam bentuk ilmu falasafah , berteka-teki , berteori itu dan ini , begitu dan begini , dan tidak pula dikaitkan dengan sebarang amalan mistik @ kebatinan yang khurafat lagi takhyul serta syirik .

Kalau mahu terus belajar SIFAT 20 pun tiada salahnya apabila bertemu dengan guru-guru yang bukan ahli-ahli kebatinan paranormal ataupun yang beramal dengan amalan-amalan bid'ah . mistik lagi misteri .

Cubalah mencari KASET PENGAJIAN SIFAT 20 ( 1 – 5 )
yang disampaikan oleh Tuan Guru Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang dengan pendekatan yang mudah difahami , tanpa berbelit-belit dengan teori-teori ajaran filsafat yang diimport daripada ajaran Yunani ( Greece ) Kuno .

Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و صلّى الله على سيّدنا محمّد و على آاله و صحبه و سلّم والحمد لله رّب العالمين

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

SJ – 2743 : MASALAH MAZHAB & PERBANDINGAN FIQH DAN SIFAT 20
http://al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=16124

SJ – 2809 : SYEIKH al-GHAZALI VS IMAM IBNU TAIMIYAH ?
http://al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=16390

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

0 comments:

Post a Comment