Dec 29, 2008

Allah Di Langit Dan Di Bumi Surah Al Anaam Ayat 3

Salam

Di dalam permulaan surah al-An'am, ayat tersebut bermaksud "Dialah Allah yang berada di langit dan bumi" (Wa huallah fi samaawati wafil ardh). Tetapi kenapa ulama Salaf mengajar kita supaya berpegang bahawa "Allah itu berada di langit"?

------------
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara Belut Pisang . Berikut adalah jawapannya berdasarkan sedikit ilmu yang dianugerahkan kepada kami .

Maudhu’ ( topik ) kita pada hari ini ialah Ayat 3 , Surah Al-An’am , Juz ke- 7 :

وَهُوَ اللّهُ فِي السَّمَاوَاتِ وَفِي الأَرْضِ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهرَكُمْ وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ

Ertinya : “Dan Dialah Allah (yang disembah), baik di langit-langit maupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahasiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan “ .

Nampaknya ulama’ salaf sendiri pun mempunyai beberapa pandangan dan tafsiran mereka terhadap ayat ini ( cuba lihat Tafsir Imam al-Qurtubi rh ) .

Adapun al-Imam Ibnu Jarir at-Tobari ( rh ) telah memilih bacaan ayat di atas dengan melakukan WAQF TAM ( berhenti secara sempurna ) sampai ke ayat : وَهُوَ اللّهُ فِي السَّمَاوَاتِ sebagai menunjukkan tamatnya bahagian pertama daripada ayat tersebut . Kemudian dibaca pula وَفِي الأَرْضِ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهرَكُمْ وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُون sebagai permulaan bahagian kedua ( drp ayat yang sama ) : Maka cara bacaan al-Imam at-Tobari ini melahirkan pengertiannya ialah : “ Dan Dialah Allah yang berada di beberapa lapisan langit . ( noktah di sini dan tamat bhg pertama ) . ( Dimulakan bahagian kedua pula ) : Dan di bumi pula Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu nyatakan dan Dia juga mengetahui apa yang kamu lakukan ( semuanya sama ada yang baik ataupun sebaliknya ) . ( Noktah di sini sbg tanda tamatnya bhg ke-2 di sini ) .

Al-Imam Ibnu Katsir ( rh ) pula menghuraikan ayat di atas dengan kata-katanya ( yang bererti ) : Ulama’ sendiri mempunyai berbagai penafsiran terhadap ayat tersebut setelah mereka sama-sama sepakat menolak pendapat Kumpulan al-Jahmiah yang mengatakan “ Allah itu berada di mana-mana sahaja “ ( Maha Suci Allah drp perkataan sedemian ini ) . Namun , tafsiran yang paling sahih drp berbagai pendapat ulama’ itu ialah : “ Tuhan yang dipanggil di langit-langit dan di bumi sebagai Allah , iaitu setiap makhluk yang berada di langit-langit dan di bumi menyembah-Nya , mengatakan ketauhidan Allah , dan mereka semuanya itu mengakui ketuhanan-Nya dan mereka juga memanggil Dia sebagai ALLAH serta mereka turut berdoa kepada-Nya dalam keadaaan suka ( berharap ) dan takut . Kecuali , mereka yang engkar ( tidak mahu melaksanakan apa yangtelah disebut sebelum ini ) daripada golongan jin dan manusia “ .

Tafsiran-tafsiran tersebut semuanya tidak bertentangan dengan Iktiqad ulama’ Salafus Solihin ( r.a ) yang mengatakan bahawa “ ALLAH BERADA DI LANGIT “ , kerana walaupun Allah Ta’ala itu berada di langit ( sesuai dengan sifat-Nya yang tidak menyerupai makhluk sedikit pun ) , namun Dia tetap juga disembah oleh segenap makhluk yag ada di bumi ini dan Dia tetap juga dipanggil sebagai ALLAH oleh penduduk muka bumi ini .

Kalau ada yang masih berasa kabur lagi dengan pengertian ayat di atas , cubalah kita bandingkan ayat di atas ( Ayat 3 , Surah Al-an’am ) ini dengan ayat 84 , Surah Az-Zukhruf :

وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاء إِلَهٌ وَفِي الْأَرْضِ إِلَهٌ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ

Ertinya : “Dan Dia-lah Tuhan (Yang disembah) di langit dan Tuhan (Yang disembah) di bumi dan Dia-lah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui “ .

Takkanlah ayat ini menunjukkan bahawa kita mempunyai 2 Tuhan , satu di langit dan satu lagi di bumi !?. Tentulah tidak sebegitu sama-sekali !!! .

Dan begitulah juga di dalam percakapan kita sehari-hari , kalau kita katakan [color=blue] “ ISKANDAR ZULKARNAIN DAHULUNYA ADALAH RAJA DI TIMUR DAN DI BARAT “[/color], adakah ini bermakna ada dua orang yang bernama Iskandar Zulkarnain , satu di timur dan satu lagi di barat !? . Tentu tidak sekali-kali . Tetapi maksudnya ialah : Iskandar Zulkarnain adalah raja di Timut dan dia juga berkuasa di Barat .

Yang paling penting ialah kita tetap berpegang teguh dengan ayat-ayat yang menerangkan hakikat sifat-sifat Allah Ta’ala itu ialah :

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Ertinya : “ Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat “ .~ Surah asy-Syura : ayat 11.

Untuk lebih menambahkan kepuasan hati silalah rujuk ke dalam kitab-kitab tafsir yang telah dinyatakan di atas .

****************************************
Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

0 comments:

Post a Comment