Jan 20, 2009

Fahaman Wahabi

assalamualaikum...
adakah fahaman wahabi itu adalah kumpulan yg benar?ramai ustz2 yg mngikut fahaman tersebut..mereka mendakwa mngikut hadith dan alquran.tetapi bg saya tindakan mereka dalam bab bidaah terlalu ekxtrem.siapakah pengasasnya?adakah ia ajaran yg tersebar luas di malaysia?
sekian..

********************
wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan yang dikemukakan oleh sdr al-hakim dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Secara umumnya Syiekh Mohammad bin Abdul Wahhab merupakan seorang ulama' yang bermazhab Hanbali yang banyak dipengaruhi dengan fikrah Ibn Taimiyah, bangun ditengah-tengah masyarakat yang pada masa itu melakukan perkara-perkara yang kurafat. Kitab beliau yang masyhur ialah Kitaab al-Tawheed yang mengajak umat Islam kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Beliau juga masyhur dikalangan masyarakat baik dulu dan sekarang sebagai penentang kepada amalan bid'ah. Sinonim perjuangan beliau ini yang menyebabkan ustaz-ustaz yang menyeru kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi saw di cop sebagai Wahabi. Beliau cuba membawa masyarakat Islam kearah ajaran Islam pada zaman salaf.

Kaedah keras atau tidak, kesemuanya bergantung kepada pendekatan dan hikmah yang dibawa oleh pendakwah itu sendiri. Begitu juga dengan corak pemahaman atau background pendakwah tersebut. Terdapat dikalangan ulama'-ulama' didalam pentafsiran hadith, ada dikalangan mereka yang agak rigid. Maknanya pemahaman sesuatu hadith berdasarkan kepada harfiah. Akan tetapi, terdapat juga dikalangan ulama' yang berpegang kuat dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw juga, mengamalkan pendekatan yang agak global. Mereka mengarapkan beberapa pertimbangan dan realiti kehidupan didalam memahami sesuatu hadith. Apa yang terjadi pada masa kini ialah, tidak kiralah samada pendakwah itu pro-wahabi atau pun tidak, kaedah dakwah yang diambil janganlah terlalu inginkan cepat untuk mencapai natijahnya sehingga mengabaikan realiti yang ada. Ia mesti realistik! Apa yang perlu diwujudkan ialah kefahaman yang jitu dikalangan audiencenya dan bukannya memaksa mereka menelan apa sahaja yang mereka katakan.

Secara akademik, pemikiran dan karya Ibn Taimiyah dan Sheikh Abdul Wahhab memang agak terserlah juga dinegara kita Malaysia terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi. Malahan, dinegeri Perlis, mereka menerima pemikiran ulama bermazhab Hanbali ini dengan baik. Karangan ulama'-ulama' ini yang paling banyak diterjemahkan didalam Bahasa Indonesia, lantas menjadikan negara Nusantara yang paling banyak menterjemah bahan bahasa melayu yang aliran fikrah sebegini.

Kesimpulannya, mereka yang mencontohi manhaj Syeikh Mohammad bin Abdul Wahab bukanlah satu fahaman baru, cuma ia merupakan perjuangan untuk menegakkan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw, sebagaimana yang perjuangkan oleh Syiekh Muhammad bin Abd Wahab keatas masyarakat yang sezaman dengan beliau. Sedar atau tidak sedar, beliau juga menjadi serangan dan sasaran puak-puak orientalis, Nasrani dan Yahudi. Syiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi juga memberi penjelasan bahawa pihak orientalis, Nasrani dan Yahudi sentiasa melabel-label golongan-golongan Islam dengan pelbagai-bagai panggilan, contohnya Islam pertengahan, Salafi Haraki, Salafi Wahabi, Islam Sunni, Islam Sufisme dsb, agar dapat melaga-lagakan umat Islam, lantas dapat melemahkan mereka.

Natijah yang wujud kini ialah umat Islam telah mula mencemuh diantara satu pemikiran dengan satu pemikiran yang lain. Ada yang menkafirkan yang lain, ada yang menbid'ahkan diantara satu sama lain, sehinggakan perkara khilaf dan furu' dianggap sebagai satu jurang pemisah yang besar diantara mereka . Hasilnya, umat Islam berpecah. Hasil, lahirlah umat-umat Islam yang kurang ajar dan biadap terhadap ulama'. Senang-senang sahaja ulama' yang banyak berjasa terhadap umat diperlekehkan. Siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan ulama'-ulama' seperti Imam Syafie rh, Imam Hanafi rh, Imam Malik rh, Imam Hanbal, Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim dan lain-lain. Membicarakan fatwa-fatwa mereka bukan bererti mengkritik dan mengutuk mereka, malah kita memperkayakan khazanah fiqh Islam yang amat tinggi nilainya.

Apa yang perlu kita ambil ialah sikap yang terbuka didalam menilai sesuatu pemikiran. Biarlah kita fikir secara rasional, menilai kembali dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw, dan melihat dari sudut kacamata manhaj ahl sunnah wa al-jamaah. Label Wahabi, Salafi, Fundamentalist, Kaum-Muda dan sebagainya tidak penting, apa yang penting ialah isi kandungan ajarannya samada ia bersesuaian dengan Al-Quran dan Sunnah, dan tidak mengada-adakan sesuatu yang baru didalam Islam.

Sebagai penutup, disini kami cuba memetik fatwa yang dikeluarkan oleh Syiekh Ibn Jibrin mengenai Wahabi.

الواجب على المسلم أن يقبل تعاليم الإسلام ، ويعمل بها ، فمتى سمع بقول أو عمل يكون دليله من الكتاب والسنة فعليه أن يقبله وأن يقدمه على ما سواه ، وأن يعرض أقوال الناس على الأدلة الشرعية ، ويأخذ منها ما وافق الدليل . وقد عُلم أن الشيخ محمد بن عبد الوهاب _ رحمه الله _ كانت دعوته إلى التوحيد وألّف في ذلك كتابه المشهور الذي هو كتاب التوحيد ، واقتصر فيه على الأدلة الواضحة من الآيات القرآنية والأحاديث النبوية الصحيحة ، وشرحه حفيده عبد الرحمن بن حسن ، وغيره من العلماء ، ولهذا لم يقدر أحد من خصمائه أن يردّ على هذا الكتاب ، ولا أن يُبطل أدلته ، وإنما جمعوا أكاذيب عليه واعتقدوا صحتها ، فلذلك اعتقدوا أنه على ضلالة وألحقوا به علماء المسلمين كالشيخ ابن باز والشيخ الألباني رحمهما الله ، ومعلوم أن المشائخ المذكورين لم يخرجوا عن القول الصحيح في الاعتقاد والعمل ، وأنهم على ما كان عليه الصحابة والتابعين والأئمة الأربعة وأصحاب الكتب الستة وغيرهم . أما الذين لا يعترفون بهم فإنما ذلك لجهل أو تقليد ، أو حسد أو عناد أو اتباع للأهواء ، أو تمسك بالعادات والتقاليد والبدع والمنكرات المخالفة للدليل ، وقد ردّ عليهم العلماء المتقدمون والمتأخرون فيجب اتباع الدليل وتقديمه على قول كل أحد .

"Orang Islam wajib menerima ajaran-ajaran Islam, dan mengamalkannya. Apabila mendengar perkataan atau amalan yang disertakan dengan dalil dari Al-Quran atau Sunnah, maka ia wajib menerima kenyataan tersebut dan memberi prioriti(keutamaan) keatasnya mengatasi segala perkara yang lain. Ia hendaklah merujuk apa yang orang lain kata dengan kenyataan bukti dari syariah, dan hanya menerima pandangan yang berdasarkan kepada dalil. Telah maklum bahawa Shiekh Muhammad bin Abdul Wahhab rh telah mengajak masyarakat kepada Tauhid dan telah menulis buku yang sangat termasyur iaitu Kitaab al-Tauhiid. Didalam buku ini beliau menghadkan dirinya hanya memetik bukti-bukti yang jelas dari ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw yang sahih. Komentar buku ini telah ditulis oleh cucu beliau Abdul Rahman bin Hasan dan lain-lain sarjana. Malah tiada seorangpun penentang beliau menafikan buku ini atau mendakwa kenyataannya palsu. Mereka telah mengada-adakan pembohongan dan kepercayaan yang palsu terhadapnya, agar orang percaya bahawa beliau telah menyeleweng. Mereka memberi label yang sama kepada ulama Islam yang lain seperti Syiekh Ibn Baaz, Syiekh Ibn Utsaimin dan Syiekh Al-Albani. Adalah maklum bahawa Syiekh-syiekh yang kami sebut tadi tidak menyeleweng dari pendapat yang benar baik dari segi aqidah dan amalan; mereka mengikuti contoh dari jalan yang sama dengan Sahaabah dan Taabi'een, empat-empat Imam, pengarang-pengarang kepada Kitab Hadith yang Enam (al-Kutub Al-Sittah) dan lain-lainya. Mereka yang tidak menghargai mereka samada secara jahil atau tidak, mengikut yang lain secara membuta, cemburu, degil atau mengikut keinginan dan kehendak masing-masing, atau patut kepada tradisi, bid'ah atau perbuatan buruk yang melanggar bukti-bukti syariah. Ulama dahulu dan sekarang membuktikan bahawa mereka-mereka ini salah. Maka kita hendaklah mematuhi bukti-bukti dan melebihkannya dari semua pandangan orang" - tamat petikan fatwa Ibn Jibrin. WA.

wassalam

0 comments:

Post a Comment