Dec 29, 2008

Menghadiahkan Pahala Baca Quran

Hukum menghadiahkan pahala membaca alQur'an kepada orang lain.

> From: "Hishamuddin Minhaj"
> To:ahkam_ol@yahoo.com
> Subject: Pertanyaan
>
Assalamualaikum Ustaz,
Sebagai individu yang telah biasa dengan ilmu hisab/matematik saya kerap mengkiaskan ganjaran-ganjaran Alah s.w.t. dengan jurusan itu juga. Saya tahu, dalam banyak perkara hal-ini akan menjadi tidak berapa benar. Jadi saya memohon sedikit penerangan ustaz terhadap perkara di bawah :-
Kita sering bersedekah dalam bentuk material atau menghadiahkan bacaan-bacaan ayat-ayat suci Al-Quran kepada arwah-arwah seperti ibU/bapa/saudara/kaum muslimin dan mulimat seluruhnya. Kerana keimanan yang agak tipis kita selalu berbuat demikian dengan mengharapkan sesuatu balasan daripada Allah s.w.t. Saya ingin sedikit kepastian, apakah bentuk ganjaran-ganjaran yang Allah akan kurniakan untuk kita atas kita bersedekah-sedekah kita ini. Kita telah pun berniat, bahawa pahala sedekah itu dihadiahkan kepada arwah-arwah berkenaan.

Apakah lagi yang tinggal untuk kita kerana semuanya kita sedekahkan?

Andaikan satu bacaan Al-Fatihah mendapat 100 pahala. Kita sedekahkan pahalanya kepada arwah ayah kita, lalu dia mendapat 100 pahala. Bagaimana pula kalau kita sedekah kepada 10 awrah berlainan. Adakah setiap mereka mendapat 10 pahala sahaja. Selalunya kita akan sedekah kepada seluruh arwah-arwah muslimim dan muslimat. Apakah yang mereka perolehi.

--------------
Jawapan
Fatwa Prof Mutawalli Sya'rawi (Anta Tasal wa Islam Yujib):
"Jumhur fuqaha' berpendapat tidak sampai pahala membaca alQur'an jika dihadiahkan kepada orang lain kecuali bacaan anaknya kepada kedua ibubapanya."
Dalil: an Najm:41 (maksud)," bahawa seseorang tiada memperoleh selain apa yang ia usahakan."
anak yang soleh ialah termasuk hasil usaha orang tuanya jua.

Dalil Hadis: "apabila anak Adam mati, putuslah amal perbuatannya kecuali: sedeqah jariah, ilmu yang terus dimanfa'atkan serta anak yang mendo'akannya."

Bagaimana cara terbaik berbakti kepada kedua orangtua?
Menurut hadis dalam al Musnad Imam Hanbali:
1.memohon keampuan untuknya
2. melaksanakan amanah dan wasiatnya
3. hormat kepada sahabat tolannya
4. selalu menjalin silaturrahim kepada keluarga kedua ibubapanya.

Menurut kitab Sayyid sabiq, Fiqh Sunnah:
Cara berbakti kepada kedua ibubapa:
1. menunaikan haji untuknya (jika belum haji)
2. berpuasa untuknya
3. solat sunat untuknya
4. sedeqah atas namanya
5. membaca alqur'an untuknya.

Kembali kepada persoalan asal: apabila kita melakukan pembacaan alQur'an dan dihadiahkan pahalanya kepada dua orang tua atau arwah si muslim, apakah baki pahala yang tinggal untuk si pembaca?

Jawab: Konsep ajr (pahala) dalam Islam dan keikhlasan seseorang melakukan adalah rahsia Allah yang akan dibuka di Akhirat kelak. Tidak siapa yang dapat mengetahui hakikat pahala ini hatta Malaikat sekalipun. Misalnya pahala membaca alQur'an ialah bukan satu kalimah, tapi huruf demi huruf. Kemudian anda akan diberi pahala kerana berbakti kepada kedua ibubapa;
pendeknya sifat Allah sebagai arRahman (Maha pemurah) dan alGhaniy (Maha Kaya) sudah cukup melegakan sesiapa saja yang berurusan dengan Allah bahawa Dia menjanjikan ganjaran yang tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana pakar
matematik kerana terlalu luas, besar dan tidak terhitung hebatnya.

Puncak ibadah ialah melakukan keta'atn dan kebaktian serta meninggalkan segala larangannya dan mengikhlaskan diri kepada Allah SWT.

Rumusan:
Maka apabila kita membaca alQur'an, kita sudah diberi pahala membaca alQur'an; jika kita meniatkan pahala bacaan itu untuk arwah kedua ibubapa kita dan semua penghuni kubur kampung kita, maka pembahagian itu adalah dalam ilmu Allah yang diluar batas keilmuan manusia atau Malaikat. Pernah seorang menderma satu dirham kepada RasuluLlah saw, maka RasuluLlah saw
bersabda sumbangan satu dirham si fulan itu lebih besar dari 100,000 dirham orang kaya sebab satu dirham derma simiskin itulah harta yang ada padanya sedangkan 100,000 dirham dari si kaya mungkin hanya sebahagian daripada hartanya yang banyak. Maka konsep pahala dan keikhlasan seseorang menjadikan pahala itu berbedza saiznya.

Rujukan: Prof Mutawalli Sya'rawi, anta Tasal wa Islam Yujib.

sekian
thtl

0 comments:

Post a Comment