Dec 27, 2008

Apa Beza Suhuf Dengan Kitab

Assalamualaikum Tuan Panel,

Apa beza Suhuf dengan Kitab,Wassalam



وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

SUHUF (( صحف )) :

( 1) - SUHUF (( صحف )) pengertian B. Arab ialah Kata Jamak ( plural ) bagi perkataan SOHIFAH (( صحيفة )) yang bererti LEMBARAN ( Scripture ).

(2) - Menurut pengertian syarak pula : Suhuf ialah sejenis Kitab Allah Ta’ala yang diturunkan kepada Para Anbiya’ dan Rasul ( solawatulLahi Wa Salamuhu ‘Alahim Ajma’ien ) , tetapi ianya tidak meliputi hukum-hakam agama. Ianya lebih merupakan dasar-dasar pokok agama dan nasihat serta petunjuk secara umum, tidak meliputi soal masyarakat.

Mengikut keterangan para ulama’ ( ha ) , suhuf-suhuf yang diturunkan kepada Para Anbiya’ dan Rasul ( solawatulLahi Wa Salamuhu ‘Alahim Ajma’ien ) adalah sebanyak 100 buah , iaitu kepada Nabi Syis (as) sebanyak 30 buah, untuk Nabi Ibrahim (as) sebanyak 10 buah, kepada Nabi Musa (as) sebelum Baginda (as) menerima kitab Taurat sebanyak 10 buah.

Contoh ayat Al-Quran yang menyebutkan hal suhuf ini ialah :

Firman Allah Ta’ala menerusi Surah Al-A’ala , Surah ke-87, ayat 18 – 19 yang mafhumnya

(( “ Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam lembaran-lembaran yang dahulu, (yaitu) lembaran-lembaran Ibrahim dan Musa “ )).

(3)- SUHUF (( صحف )) juga diistilahkan LEMBARAN @ CATATAN @ REKOD @ SURATAN AMALAN yang merakamkan segala amalan para hamba ( makhluk ) samada rekod baik ( pahala ) ataupun buruk ( dosa ). Ianya diberikan kepada semua hamba tersebut di padang mahsyar ( Hari Kiamat ) kelak, sebelum seseorang setiap mereka itu diberikan ganjaran berbetuk Syurga, ataupun dihumbankan ke dalam azab Neraka – Wal’iyadzu BilLahi Min Dzalik.

***********************

KITAB (( كتاب )) :

1 - KITAB (( كتاب )) : diertikan oleh para ulama’ sebagai : “ Himpunan undang-undang ataupun peraturan hidup serta pedoman dan nasihat-nasihat serta pengajaran-pengajaran yang diturunkan oleh Allah Ta’ala kepada Para Rasul ( ‘alahimus solatu was salam ) untuk dijadikan pedoman manusia di dalam meniti kehidupan di atas muka bumi ini.

Kitab-kitab yang diturunkan kepada Para Rasul ( ‘alahimus solatu was salam ) itu ada 4 buah iaitu :

i - Kitab At-Taurat diturunkan kepada Nabi Musa (as).
ii- Kitab Az-Zabur diturunkan kepada Nabi Daud (as).
iii - Kitab Al-Injil diturunkan kepada Nabi Isa (as)
iv - Dan yang terakhir, Kitab Al-Quran Al-Karim kepada Baginda Nabi Muhammad (saw).

Beriman dengan kesemua kitab tersebut ( dan juga suhuf ) merupakan salah-satu pokok kewajipan seseorang muslim sebagaimana yang tertera di dalam banyak ayat Al-Quran Al-Karim dan Hadist Rasulullah s.a.w –Surah An-Nisa’ ayat 136 . Namun kewajipan beriman kepada kitab-kitab tersebut ( selain daripada Al-Quran Al-Karim ) ialah kepada kitab-kitab Taurat, Zabur dan Injil yang asli, dan bukanlah Taurat, Zabur dan Injil yang telah diselewengkan dan dipalsukan oleh golongan Yahudi dan Kristian, yang diberi nama sebagai THE HOLY BIBLE ( Old Testament & New Testament ) !!!.

[b]2 – Kitab juga kadang-kadang dimaksudkan sebagai CATATAN @ REKOD AMALAN ( sama seperti pengertian ke 3 bagi Suhuf – sila lihat penjelasan di atas ! ) .

Keadaan makhluk yang ditempatkan di padang mahsyar ini untuk menerima “ Rekod Amalan “ ini digambarkan oleh Allah Ta’ala menerusi kitab Al-Quran Al-Karim , Surah Al-Insyiqaq : Ayat 7-9 , Juzuk ke-30 , Surah ke-84 :

(( “Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah, dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. “ )).

3 – Kadang-kadang perkataan KITAB ini juga dipakai sebagai istilah khas ( yang diselewengkan ) bagi merujuk kepada BIBLE yang dinamakan sebagai “ Al-Kitab Al-Muqaddas “ ( Kitab Suci ) oleh golongan Kristian Arab ataupun “ Al-Kitab “ ( istilah ini digunakan oleh golongan misionari Kristian di Indonesia khasnya, dan di Asia Tenggara umunya ) . Tujuannya , untuk mengelabui pemikiran masyarakat awam Islam yang akan menyebabkan mereka menyangka bahawa AL-KITAB ( Bible ) itu juga adalah Firman Allah Ta’ala yang sebenar ( original God’s word ) . Oleh itu hati-hati akan muslihat licik seperti ini !!! – Wal’iyadzul BilLahi Min Dzalik.

***********************

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN :

1- SILSILAH AL-‘AQAID – Syiekh Ahmad ‘Izzuddin Al-Bayanuni
Jilid ke-2 ( ms 167 ) & Jilid ke-4 ( ms 69 ) – Terbitan Darussalam, Cairo.

2- KAMUS PENGETAHUAN ISLAM – Hj Dasuki Hj Ahmad ( YADIM – 1976 ) .

Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

0 comments:

Post a Comment