Dec 29, 2008

Adakah Ahlul Kitab Masih Wujud

Salam

Saya ada mendengar sesetengah ulamak di Malaysia ni mengatakan ahli kitab sudah tidak wujud lagi sekarang. Ini kerana mereka ini sudah banyak menyeleweng dan meminda ajaran dan kitab asal mereka. Pendek kata, orang yahudi dan kristian sekarang ni tidak boleh lagi dianggap sebagai ahli kitab dan tidak boleh lagi dikategorikan atau disamakan dengan ahli kitab yang disebut dalam Al-Quran. Oleh itu ulamak ini mengatakan tidak halal bagi orang Islam memakan sembelihan mereka atau mengahwini perempuan suci mereka tanpa perlu memeluk Islam pada zaman sekarang. Bagi ulamak ini hukum ini hanya valid pada masa awal islam saja.

Kemusyikilan saya sekarang, adakah pendapat ini benar? Setahu saya tidak ada ayat Al-Quran yang lain memansuhkan Ayat 5 Surah Al-Maidah iaitu dihalalkan orang islam memakan sembelihan dan mengahwini perempuan Ahli Kitab (tanpa perlu peluk Islam). Bagi saya, sekiranya kita berpegang dengan pendapat yang dihuraikan di atas, ini bermakna Ayat 5 Surah Al-Maidah tidak relevan lagi buat masa sekarang. Bagi saya ini adalah mustahil, kerana Al-Quran itu sendiri adalah relevan sepanjang zaman sehingga hari akhirat.

Saya amat berharap dapat penjelasan dari pihak panel.

Wassalam

---------
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاته
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))
***********************

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara Oghe Kelate ( oghe kampung ust thtl ko demo nih ? ) di atas soalan yang diberikan dan saya memohon jutaan kemaafan daripada saudara di atas kelewatan saya menjawabnya .

Topik “ Ahlul Kitab “ merupakan topik yang sudah selalu diperjelaskan di dalam web al-Ahkam online ini , khasnya oleh tuan guru kita , Al-Fadhil Ustaz thtl .

Saudara boleh merujuk kembali jawapan-jawapan beliau melalui url berikut :

[color=blue] SJ-1510: ahlul kitab [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=6173

[color=blue] HINDU & BUDHA : AHLUL KITAB JUGAK KE ? [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB1&Number=3907

[color=blue] SJ-1896: Perkahwinan antara agama. [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=8216

[color=blue] SJ-1789: Ahli Kitab [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=7810

[color=blue] SJ-1785: Ahli Kitab Bah 3 [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=7789

[color=blue] SJ-1780: (Samb. SJ-1763) Lagi ahli kitab [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=7779

[color=blue] SJ-1763: [U] ahli kitab [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=7731

[color=blue] SJ-1511: Lagi Ahli Kitab... [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=6175

[color=blue] SJ-1470: Ahli Kitab & Perselisihan Hukum [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=6092

[color=blue] SJ-1348: Makan sembelihan ahli kitab di Ireland [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=5844

Url di atas semuanya berisi jawapan Al-Fadhil Ustaz thtl kita mengenai “ Ahlul Kitab “ @ “ Ahli Kitab “ dan ianya meliputi semua perbahasan mengenai “ Ahlul Kitab “ sama ada dari sudut aqidah mereka , status mereka , kekufuran mereka , sembelihan mereka dan pernikahan dengan wanita-wanita mereka .

Namun bagi lebih menjelaskan lagi masalah “ Adakah Ahlul Kitab Masih Wujud Di Hari Ini ? “ saya akan cuba menjawabnya – Insya-Allah – setelah diberikan laluan oleh Al-Fadhil Ustaz thtl sebagai “ ahli panel fiqh terulung “ di sini .

[color=blue] *************************** [/color]

PENGERTIAN “ AHLUL KITAB “ أهل الكتاب

{ A } ~ Menurut Asalnya di dalam Bahasa Arab :

“ AHLUL KITAB “ terdiri daripada dua perkataan iaitu “ Ahlu “ dan “ al-Kitab “ .

“ Ahlu “ ertinya si empunya dan biasa juga dipakai dengan makna “ keluarga “ .

“ al-Kitab “ pula ertinya buku . Maksud yang dikehendaki di sini ialah kitab-kitab yang dianggap sebagai sumber sesuatu agama dan dianggap suci .

### Ini adalah pengertian dari sudut bahasa dan bukanlah pengertian ini yang dikehendaki oleh syarak kerana kalau ianya dipakai maka semua penganut-penganut mana-mana agama tentulah akan dianggap sebagai “ Ahlul Kitab “ kerana mereka semua menyangka bahawa kitab mereka adalah suci dan menjadi sumber agama mereka .

{ B } ~ Menurut Pengertian Syarak :

Ramai daripada kalangan ulama’ rh yang telah pun memberikan pengertian berhubung definasi Ahlul Kitab . Namun saya hanya akan menyatakan beberapa definasi yang terpilih . Yang lain saudara boleh rujuk di Ruangan Rujukan & Saranan Pembacaan yang berada di bawah jawapan ini .

a – Menurut Pendapat Al-Imam asy-Syahrastani rh { 479 – 548 H } :

Beliau telah menyatakan definasi Ahlul Kitab di dalam “ Al-Milal Wan Nihal “ , Jilid Pertama , Bab ke-2 dan halaman ke-247 { Cetakan : Darul Ma’arifah , Beirut 1996 } , terjemahannya seperti berikut : :

[color="green"] (( Ahlul Kitab : Mereka ialah segolongan manusia yang terkeluar dari agama yang lurus dan syariat Islam . Ahlul Kitab itu juga bercakap mengenai peraturan , hukum-hakam , peraturan-peraturan dan panji-panji ( syiar-syiar kebesaran agama ) .

Ahlul Kitab ini terbahagi kepada :

Golongan yang mempunyai kitab yang telah dikenal-pasti seperti Taurat dan Injil , kerana itulah Al-Quran sendiri memanggil golongan ini sebagai “ Ahlul Kitab ‘ .

Golongan kedua pula ialah golongan yang dikenali sebagai “ Syubhah Kitab “ ( satu lebaran / menuskrip seolah-olah berbentuk dan berisi kitab ) . Golongan ini adalah golongan Majusi dan Al-Manawiyah . Sesungguhnya lembaran-lembaran yang pernah diturunkan kepada Nabi Ibrahim a.s telah pun diangkat semula ke langit lantaran satu peristiwa yang dicetuskan oleh golongan Majusi itu sendiri .

Disebabkan golongan Majusi ini sendiri ada lembaran-lembaran ( yang seakan-akan seperti kitab yang diturunkan daripada langit ) , maka dibenarkan kita mengadakan perjanjian dan jaminan keamanan dengan pihak mereka dan mereka dilayan oleh kita sebagai mana kita melayan golongan Yahudi dan Kristian . Layanan yang sama ini disebabkan golongan Majusi itupun berasal daripada golongan Ahlul Kitab .

Akan tetapi kita tidak dibenarkan menikahi dan memakan sembelihan golongan Majusi dan Al-Manawiyah kerana lembaran kitab mereka itu sendiri telah diangkat semula daripada mereka )) . [/color]

Ringkasnya :

Al-Imam asy-Syahrastani ( rh ) sendiri telah menyatakan bahawa Yahudi dan Kristian itu adalah golongan Ahlul Kitab dan Ahlul Kitab itu sendiri tidak lain melainkan termasuk juga di dalam pengertian orang-orang kafir .

b – Menurut Pendapat Imam kita , Al-‘Allamah Muhammad Idris asy-Syafie’ rh { 150 - 204 H } :

Imam mazhab kita ini telah menegaskan di dalam salah-satu buah penanya yang sangat terkenal “ Al-Um “ , Kitab an-Nikah , Bab : Nikah Harair Ahlil Kitab , Jilid ke-3 , halaman 7 { Cetakan Darul Fikr , Beirut } , terjemahannya seperti berikut :

[color="green"] (( Telah berkatalah Asy-Syafi’e :

Ahlul Kitab yang dibenarkan kita menikahi wanita-wanita mereka yang merdeka itu ialah mereka yang mempunyai kitab yang telah pun dikenali : Taurat & Injil , iaitu mereka itu adalah golonganYahudi dan Kristian dan tidaklah termasuk golongan Majusi Berkata lagi Asy-Syafi’e : Adapun golongan As-Sobiah ( Para penyembah bintang dan alam ) dan golongan Samirah ( golongan Yahudi yang mengikuti Samiri yang telah menyeleweng di zaman Nabi Musa a.s ) yang mana kedua-dua golongan itu berasal juga daripada Yahudi dan Kristian – yang kita dibenarkan menikahi wanita-wanita dan makan sembelihan Yahudi dan Kristian itu – melainkan apabila diketahui mereka ( As-Sobiah dan Samirah ) ini menyalahi Yahudi dan Kristian pada apa yang dihalalkan oleh kitab mereka ( Yahudi dan Kristian ) lalu mereka ( As-Sobiah dan Samirah ) mengharamkan pula .

Maka golongan ini – As-Sobiah dan Samirah – ini diharamkan kita dari menikahi wanita-wanita mereka sebagai mana diharamkan kita menikahi wanita-wanita Majusi walaupun kedua-dua golongan itu berasal daripada kedua-dua golongan : Yahudi dan Kristian )) . [/color]

Ringkasnya :
Al-Imam asy-Syafi’e rh mengatakan bahawa Ahlul Kitab itu ialah golongan Yahudi dan Kristian . Adapun golongan Para penyembah bintang dan alam ( As-Sobiah ) serta golongan Samirah maka mereka sendiri sudah terkeluar daripada kumpulan Yahudi dan Kristian .

Tambahan daripada Pendekar ( al-Ahkam.net ) :
Selain itu , Al-Imam asy-Syafie rh juga tidak mengiktiraf mana-mana bangsa yang bukan berasal daripada Bani Israel yang memeluk agama Yahudi dan Krsitian untuk digelar sebagai Ahlul Kitab . Contohnya jika ada bangsa Arab ( Arab Asli @ Arab Teluk ) yang memeluk agama Kristian maka mereka TIDAK BOLEH dianggap sebagai Ahlul Kitab kerana mereka asalnya telah pun mengenal agama yang lurus ( Agama Islam , sama ada yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s ataupun Nabi besar kita , Baginda Rasulullah s.a.w ) .

Al-Imam Asy-Syafi’e ( rh ) telah mengatakan di dalam kitab yang sama , pada halaman 8 dengan menggunakan hujah Al-Imam ‘Ato’ ( rh ) :


ليس نصارى العرب بأهل الكتاب إنما أهل الكتاب بنو إسرائيل و الذين جآءتهم التوراة و الإنجيل فأما من دخل فيهم من الناس فليسوا منهم

[color=blue] “ Orang-orang Arab yang beragama Kristian itu bukanlah Ahlul Kitab . Ahlul Kitab yang sebenarnya adalah kaum Bani Israel yang pernah pada mereka itu diturunkan Taurat dan Injil . Adapun sesiapa sahaja yang memeluk agama Yahudi dan Kristian daripada bangsa-bangsa selain mereka , maka tidaklah dianggap sebagai Ahlul Kitab yang sebenarnya “ . [/color]

c – Menurut Al-‘Allamah Dr. Mahmud Abdul Rahman Abdul Mun’im ( ha ) :

Dr. Mahmud Abdul Rahman adalah salah seorang pensyarah dan tenaga pengajar Usul Fiqh di Fakulti Syariah dan Undang-Undang , Universiti al-Azhar asy-Syarif , Kaherah . Beliau telah mengatakan di dalam kitabnya yang terkenal “ Mu’ujam al-Mustolahat Wal Alfazil Fiqhiyyah “ , Jilid 1 , halaman 330 { Terbitan : Darul Fadhilah , Kaherah } :

[color="green"] (( Ahlul Kitab : Majoriti Ulama’ Fiqh berpendapat bahawa mereka itu adalah golongan Yahudi dan Kristian termasuklah semua aliran-aliran agama-agama mereka .

Majoriti ulama’ itu juga telah memberikan definasi Ahlul Kitab itu sebagai sesiapa sahaja yang beriman dengan mana-mana Nabi a.s , yang mengakui kitab - termasuklah Yahudi dan Kristian – dan sesiap sahaja yang beriman dengan kitab Zabur yang pernah diturunkan kepada Nabi Daud a.s , ataupun beriman kepada suhuf ( lembaran-lembaran ) Nabi Ibrahim a.s . Dan mereka itu – Yahudi dan Kristian – itu digelar sebagai Ahlul Kitab lantaran keimanan mereka kepada agama yang diturunkan daripada langit itu tentulah datang dengan kitab . Dalil majoriti ulama’ ini ialah : [/color]


أَن تَقُولُواْ إِنَّمَا أُنزِلَ الْكِتَابُ عَلَى طَآئِفَتَيْنِ مِن قَبْلِنَا وَإِن كُنَّا عَن دِرَاسَتِهِمْ لَغَافِلِينَ

[color=blue] Ertinya : “(Kami turunkan al-Quran itu) agar kamu (tidak) mengatakan: "Bahwa kitab itu hanya diturunkan kepada dua golongan saja sebelum kami ( Yahudi dan Kristian ) , dan sesungguhnya kami tidak memperhatikan apa yang mereka baca “ [/color] ~ Surah al-An’am , ayat 156 .

[color="green"] Mazhab Hanafi dan Hanbali mengatakan : Ahlul Kitab adalah Yahudi dan Kristian . Termasuklah juga sesiapa sahaja yang memeluk agama Yahudi aliran Samirah disebabkan mereka itu beriman juga dengan Taurat dan beramal dengan peraturan Nabi Musa a.s . Dan termasuk juga di dalam kumpulan agama Kristian sesiapa sahaja yang beriman dengan Injil dan menisbahkan diri mereka kepada ( ajaran ) Nabi Isa a.s dengan dakwaan-dakwaan dan beramal dengan peraturannya .

Mazhab Syafi’e dan Maliki pula berpendapat : Ahlul Kitab itu adalah orang-orang Yahudi dan Kristian . Adapun Ahli Dzimmah , mereka itu boleh jadi terdiri daripada golongan Ahlul Kitab ataupun golongan bukan ahlul kitab seperti golongan Majusi .

Lihat juga Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah : 7 / 121 & 140 . Terbitan : Kementerian Waqaf Kuwait )) . [/color]

Ringkasnya :
Dr. Mahmud Abd. Rahman ( ha ) juga turut menyatakan bahawa Yahudi dan Kristian itu adalah Ahlul Kitab . Adapun Ahli Dzimmah maka ia lebih umum daripada Ahlul Kitab kerana ia meliputi semua golongan kafir sama ada golongan Ahlul Kitab , Majusi , Penyembah Alam , Hindu , Budha dan selain mereka .

KESIMPULANNYA :
Ahlul Kitab adalah golongan Yahudi dan Kristian . Adapun golongan Majusi , penyembah alam dan selain mereka TIDAKLAH DIANGGAP sebagai ahlul kitab walaupun khabarnya mereka juga pernah beriman dengan Nabi a.s dan pernah juga diberikan kitab / suhuf daripada langit .

Walaupun umat Islam memiliki kitab iaitu Al-Quranul Karim yang didatangkan juga daripada Allah Ta’ala , akan tetapi orang-orang Islam itu sendiri TIDAKLAH DIGELAR sebagai Ahlul Kitab . Ini disebabkan gelaran MUSLIMIN / MUSLIMUN itu sendiri sudah cukup menunjukkan bahawa umat Islam itu adalah orang yang menyerah diri mereka kepada Allah Ta’ala , yang beriman dengan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan beriman dengan Al-Quranul Karim .

[color=blue] *************************** [/color]

BEBERAPA MASALAH BERKAITAN TOPIK INI :

[color=blue] A – “ Ahlul Kitab sudah tidak wujud lagi sekarang sebab Yahudi dan Kristian sekarang bukanlah beriman dengan Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s dan tidak pula mereka beriman dengan Injil yang pernah diturunkan kepada Nabi Isa a.s , bahkan mereka ini beriman dengan Taurat palsu dan Injil palsu yang telah pun diselewengkan oleh para pendita mereka . Oleh kerana Taurat dan Injil yang asli sudah tiada lagi , maka tiadalah lagi Ahlul Kitab yang sebenar “ . [/color]

PENJELASAN KITA :

Kata-kata di atas sebenarnya lahir daripada mereka yang terkeliru dan tidak berapa memahami istilah Ahlul Kitab itu sendiri . Kita mesti faham , apabila kita menggelarkan Yahudi dan Kristian itu sebagai “ Ahlul Kitab “ maka ini bermakna :

{ a } ~ Kita juga menganggap bahawa Yahudi dan Kristian adalah KAFIR . Kerana kalau mereka tidak kafir sudah tentulah mereka itu muslimin .

{ b } ~ Ahlul Kitab itu sendiri bermakna golongan yang KAFIR yang terdiri drp golongan Yahudi dan Kristian . Lantaran itulah umat Islam tidak tidak digelar sebagai Ahlul Kitab walaupun mereka mempunyai kitab disebabkan Ahlul Kitab itu adalah gelaran khas untuk Yahudi dan Kristian sahaja ( menurut pandangan majoriti ulama’ rh ) .

{ c } ~ Golongan Kafir itu sendiri ada berbagai jenis . Ada yang digelar sebagai Ahlul Kitab ( iaitu Yahudi dan Kristian ) , ada yang dipanggil Majusi ( Golongan penyembah api seperti pengikut Zoaraster dan Hindu ) , ada yang dipanggil sebagai “ Al-Wastaniyin “ ( iaitu penyembah berhala-berhala dan patung-patung ) , ada yang dipanggil “ Ad-Dahriyun “ ( seperti golongan Komunis , Atheis dan Marxisme ) , ada yang dipanggil Kafir daripada golongan falsafah dan ada pula yang digelar sebagai “ Murtaddin “ ( iaitu mereka yang keluar daripada agama Islam ) .

Kafir itu adalah nama am yang ada dibawahnya meliputi berbagai jenis kumpulan lagi . Dan Ahlul Kitab itu sendiri termasuk di bawah kumpulan yang disebut sebagai KAFIR itu .

{ d } ~ Kalau ada daripada kalangan Yahudi dan Kristian yang beriman dengan agama dan kitab sebenar yang asli yang dibawa oleh Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s maka ini bermakna mereka itu BUKANLAH AHLUL KITAB sebab agama dan kitab yang asli yang dibawa oleh kedua-dua Nabi a.s itu adalah agama ISLAM .

{ e } ~ Injil dan ajaran Nabi Isa s.a itu sendiri telah berubah dan diselewengkan sejak 30 tahun selepas ketiadaan Nabi Isa a.s . Dan jarak masa di antara Nabi Muhammad s.a.w dengan Nabi Isa a.s adalah lebih 500 tahun ( disebabkan Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan pada 20 @ 22 April , tahun 571 masehi ) . Ini bermakna kalau selepas 30 tahun ketiadaan Nabi Isa a.s Kitab Injil telah berubah , maka apatah lagi di zaman munculnya Baginda Rasulullah s.a.w ? .

Ertinya : Injil yang ada di zaman Baginda Rasulullah s.a.w sendiri telah berubah dan menyeleweng . Akan tetapi walaupun ianya telah berubah dan menyeleweng sebagaimana juga dengan agama Yahudi dan Kristian , Allah Ta’ala tetap memanggil mereka di dalam Al-Quranul Karim dengan “ YA AHLAL KITAB …… “ ( Wahai Ahli Kitab ! ) .

Ini bermakna Yahudi dan Kristian itu sendiri memang telah pun dipanggil Ahlul Kitab sejak zaman Baginda Rasulullah s.a.w . Dan panggilan “ Ahlul Kitab “ itu sendiri adalah bukti mereka adalah umat yang telah menyeleweng daripada ajaran-ajaran kitab-kitab yang asli . Sebab kalau mereka itu tidak menyeleweng sudah tentulah mereka itu beriman . Dan kalaulah mereka beriman sudah tentulah Allah Ta’ala akan memanggil mereka di dalam Al-Quranul Karim dengan : “ YA AIYUHAL LADZINA AMANU … ! “ ( Wahai orang-orang yang beriman ! ) , namun panggilan ini hanya khas untuk umat Islam yang beriman dengan kerasulan Baginda Rasulullah s.a.w !!! .

{ f } ~ Dakwaan “ Tidak boleh memanggil Yahudi dan Kristian itu sebagai Ahlul Kitab kerana kitab-kitab mereka sudah tidak asli dan menyeleweng “ adalah dakwaan yang tidak benar dan tidak berasas .

Kita dah nyatakan di atas , Yahudi dan Kristian sudah terlalu lama menyeleweng dan sesat termasuklah di zaman Baginda Rasulullah s.a.w sendiri . Akan tetapi Allah Ta’ala dan Rasul-Nya s.a.w tetap memanggil mereka sebagai “ Ahlul Kitab “ .

[color=blue] ***************************

B ~ “ Bagaimana boleh dianggap Yahudi dan Kristian itu Ahlul Kitab walhal mereka itu sendiri telah mensyirikkan Allah Ta’ala sebab Yahudi kata ‘Uzair adalah anak Tuhan dan Kristian pula berkata Jesus Christ adalah anak Tuhan . Sepatutnya Yahudi dan Kristian ini dipanggil MUSYRIKIN , bukannya AHLUL KITAB ! “ . [/color]

PENJELASAN KAMI :

Kita telah pun menjelaskan bahawa semua kumpulan dan golongan yang bukan Islam ini bermakna mereka adalah KAFIR dan di bawah nama KAFIR ini sendiri ada banyak jenisnya termasuklah kaum musyrikin .

Ya ! , memang benar dari satu segi Yahudi dan Kristian itu memang benar-benar telah menyekutukan ( syirik ) Allah Ta’ala disebabkan kata-kata mereka yang durjana itu !.

Akan tetapi kalau kita memerhatikan uslub ( gaya ) bahasa Al-Quranul Karim sendiri kita akan temui :

{ a } – Tatkala Allah Ta’ala tujukan firman-Nya kepada semua manusia , maka Allah Ta’ala akan memanggil dengan : “ YA AIYU HANNAS ! “ ( Wahai semua manusia ! ) .

{ b } ~ Tatkala Allah Ta’ala menujukan firman-Nya khas untuk umat Islam maka Allah Ta’ala akan memanggil kita dengan panggilan : “ YA AIYUHAL LADZINA AMANU ! “ ( Wahai semua orang beriman ! ) .

{ c } ~ Tatkala Allah Ta’ala menujukan firman-Nya kepada Yahudi dan Kristian , Allah Ta’ala akan memanggil mereka dengan : “ YA AHLAL KITAB ! “ ( Wahai Ahli Kitab ! ) .

{ d } ~ Dan tatkala Allah Ta’ala menujukan firman-Nya kepada golongan Kafir selain Yahudi dan Kristian di atas , Allah Ta’ala memanggil mereka dengan : “ YA AIYUHAL KAFIRUN ! “ ( Wahai orang-orang kafir ! ) .

Memanglah Yahudi dan Kristian itu KAFIR , tidak syak lagi .

Memanglah Yahudi dan Kristian itu MENSYIRIKKAN ALLAH TA’ALA , akan tetapi walaupun mereka syirik kita tidak menemui sebarang ayat Al-Quranul Karim yang memanggil mereka sebagai “ Musyrikin / Musyrikun “ .

Ini menunjukkan walaupun Yahudi dan Kristian itu sendiri melakukan kerja syirik dan menjadi kafir , akan tetapi mereka sendiri ada kedudukan tersendiri menurut pandangan Islam dan mereka juga ada panggilan khusus iaitu AHLUL KITAB ! .

Samalah dengan orang-orang Islam . Apakah tidak ada di kalangan umat Islam yang menjadi ahli nujum dan dukun yang syirik kepada Allah Ta’ala ? .

Apakah tidak ada umat Islam yang menyekutukan Allah Ta’ala dengan menganut juga berbagai fahaman yang boleh menyebabkan mereka menjadi syirik seperti memohon hajat di kuburan-kuburan , memanggil hantu-setan dan jin untuk diminta bantuan ghaib , memuliakan pokok dan busut jantan !? .

Apakah tiada umat Islam yang menjadi murtad disebabkan turut menganut ideologi Sekularisme dan Komunisme !? .

Ada , memang ada umat Islam yang menjadi syirik dan murtad .

Tapi mereka tidak pula dipanggil sebagai MUSYRIKIN ataupun AHLUL KITAB ! .

Maka begitulah dengan Yahudi dan Kristian , walaupun mereka itu ada yang melakukan kerja syirik dan sesat lagi murtad akan tetapi mereka tidak dipanggil di dalam Al-Quranul Karim sebagai MUSYRIKUN ataupun KAFIRUN , tetapi dipanggil sebagai AHLUL KITAB .

Sila pelajari lagi masalah ini menerusi :

[color=blue] AHKAM ADZ-ZIMMIYIN WAL MUSTA’MININ [/color]
Oleh : Al-‘Allamah Dr. Abdul Karim Zaidan ( ha )
Fasal 1 , halaman 10 – seterusnya
Terbitan : Muassasah ar-Risalah , Beirut

[color=blue] FATAWA MU’ASIRAH [/color]
Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi ( ha )
Jilid 3 , halaman 1169 – 240 ( tumpukan secara khusus di halaman 171 – 174 ) .
Terbitan : Darul Qalam Lin Nasyr Wat Tauzie’ , Kaherah

[color=blue] MAUQIFUL ISLAM al-‘AQADIY MINAL KUFR al-YAHUD WAN NASORO [/color]
Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi ( ha )
Baca semua halaman dan fokuskan pada halaman 35 dan 60
Terbitan : Maktabah Wahbah , Abideen , Kaherah

[color=blue] FI FIQH al-AQALLIYAT al-MUSLIMAH [/color]
Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi ( ha )
Halaman : 91 – 104
Terbitan : Darul Shurook , Kaherah

[color=blue] AL-HALAL WAL HARAM FIL ISLAM [/color]
Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi ( ha )
Halaman : 163 – 165
Terbitan : Maktabah Wahbah , Abideen , Kaherah [ Edisi 2002 ]

[color=blue] HALAL DAN HARAM DALAM PANDANGAN ISLAM [/color]
Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi ( ha )
Terjemahan : Al-Ustadz Muammal Hamidy ( rh )
Halaman : 95 & 267
Terbitan : PT Bina Ilmu , Surabaya [ Edisi Lengkap / Cetakan ketiga 1978 ]
http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/

[color=blue] GHAIRUL MUSLIMIN FIL MUJTAMA’ al-ISLAMIY [/color]
Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi ( ha )
Halaman : 6 – 7
Terbitan : Maktabah Wahbah , Abideen , Kaherah [ Edisi 1992 ]

[color=blue] KATA-BERJAWAB 1-5 [/color]
Oleh : Almarhum Ustadz A. Qadir Hasan ( rh )
Halaman : 3972 & 411

[color=blue] ***************************

C ~ “ Memanglah kita boleh makan sembelihan dan menikahi wanita-wanita Ahlul Kitab , akan tetapi syaratnya Ahlul Kitab itu mestilah sudah memeluk Islam “ . [/color]

PENJELASAN KAMI :


Kalau Ahlul Kitab itu sudah memeluk Islam maka apalah guna lagi dipanggil mereka itu sebagai Ahlul Kitab !? . Tidakkah ini lebih menimbulkan kehairanan !? .

Jika Ahlul Kitab itu sudah memeluk Islam maka mereka secara automatik dipanggil sebagai MUSLIMIN bukannya AHLUL KITAB . Jadi untuk apa lagi disyaratkan lagi mereka mestilah Islam !? .

Kalau wanita-wanita Ahlul Kitab itu sudah memeluk Islam maka mereka tidak lagi dipanggil sebagai KITABIYAH / KITABIYAT tetapi mereka akan dipanggil pula sebagai MUSLIMAH / MUSLIMAT ! .

Kami tidak pernah pun berjumpa dengan mana-mana keterangan yang kuat ( sepanjang pengetahuan kami ) , sama ada hadist-hadist sahih ataupun fatwa-fatwa ulama’ rh yang muktabar yang meletakkan syarat seperti di atas . Kalau ada cubalah ditunjukkan kepada kami , mudah-mudahan kami boleh menukar pendirian kami ini dan menjadi lebih terpimpin ! .

Setakat kata-kata tok guru itu dan tok guru ini maka itu bukanlah hujah muktamad , apatah lagi kami sendiri telah membawa sejumlah dalil-dalil daripada Al-Quranul Karim , Hadist-Hadist , Fatwa-Fatwa dan pandangan-pandangan ulama’ muktabar yang mengatakan bahawa AHLUL KITAB ITU MASIH WUJUD LAGI DAN MEREKA ITU MEMANGLAH KAFIR !.

KESIMPULAN TERAKHIR :

Jelas sudah kepada kita bahwa Ahlul Kitab itu masih wujud lagi dan mereka ialah para pengikut agama Yahudi dan Kristian . Dan gelaran “ Ahlul Kitab “ ini sama-sekali TIDAK MENUNJUKKAN bahawa Yahudi dan Kristian itu adalah orang-orang yang beriman tetapi ia lebih menunjukkan bahawa mereka adalah orang-orang yang engkar ( kafir ) dan terkeluar daripada agama yang benar ( murtad ) .

Para pengikut dakwah Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s yang asli dan yang sebenar BUKANLAH AHLUL KITAB tetapi mereka adalah orang-orang Islam yang beriman dengan Allah Ta’ala dan memeluk Islam di tangan Para Anbiya’ a.s yang sezaman dengan mereka .

Oleh itu para pengikut Nabi Ibrahim a.s BUKANLAH Ahlul Kitab, bahkan mereka adalah MUSLIMIN .

Para pengikut Nabi Musa a.s dan Taurat yang sebenar BUKANLAH Ahlul Kitab, bahkan mereka adalah MUSLIMIN .

Para Pengikut Nabi Daud a.s dan Zabur yang sebenar BUKANLAH Ahlul Kitab , bahkan merekalah MUSLIMIN .

Para Pengikut Nabi Isa a.s ( Al-Hawariyun ) yang sebenar BUKANLAH Ahlul Kitab , bahkan mereka juga adalah MUSLIMIN .

Muslimin bukanlah Ahlul Kitab ! .

Ahlul Kitab juga bukanlah Muslimin ! .

Ini disebabkan Ahlul Kitab itu adalah KAFIR ( non-muslims ) ! .

Disebabkan mereka adalah BUKAN ISLAM , maka kita MENGKAFIRKAN mereka ! .

Ahlul Kitab juga biasa digelar sebagai “ al-Kitabiy “ , “ al-Kitabiyah “ . “ al-Kitabiyun “ , “ al-Kitabiyin “ , “ The People of the book “ dan “ The People of the Scripture “ .

Sila pelajari lagi mengenai hal ini menerusi :

[color=blue] SJ - 1792 : BEZA AGAMA-AGAMA PARA ANBIYA ' ( A.S ) [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=7824

[color=blue] SJ - 1843 : PERBEZAAN DI ANTARA SUHUF DGN KITAB [/color]
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=8034


و صلّى الله على سيّدنا محمّد و على آله و صحبه و سلّم والحمد لله رّب العالمين

Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

[color=blue] **************************************** [/color]

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

Sebahagian besar daripada bahan rujukan dan saranan pembacaan telah pun dinyatakan di atas . Di sini sebagai tambahan demi menambah lagi kefahaman kita bersama :

[color=red] PEOPLE OF THE BOOK ( THE CHOICE , VOL 1 & 2 ) [/color]
Oleh : Al-‘Allamah Syeikh Ahmed Deedat ( ha )
Terbitan : Darul Manarah , El-Mansoora , Egypt
SABA Islamic Media Malaysia pun turut sama menerbitkan buku ini .

[color=red] KAMUS PENGETAHUAN ISLAM [/color]
Oleh : ( Datuk ) Hj. Dusuki Hj. Ahmad
Halaman 21
Terbitan : YADIM [ Edisi 1976 ]

http://www.isnet.org/archive-milis/dec94/0241.html
http://web.fares.net/w/.ee7f346
http://www.iiu.edu.my/deed/glossary/a1.html
http://www.islamiska.org/e/a.htm
http://www.jaring.my/annur/keugama4.htm
http://www.pesantrenonline.com/KajianSantri/detailKajian.php3?detail=15&pesantren=1
http://www.hidayatullah.com/2000/04/sakinah.htm
http://www.alsofwah.or.id/html/ks_i_1.html


و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

0 comments:

Post a Comment