Jan 23, 2009

Memilih Untuk Membunuh Diri Suatu Takdir

Assalamualaikum

Saya ingin mengemukakan soalan ini kepada para arif agama kerana saya amat jahil di dalam hal ini.

Soalannya :-

Sekiranya Allah yang menentukan jodoh pertemuan, kehidupan dan kematian, adakah benar jika saya menyatakan, bahawasanya andainya si Polan membunuh diri, maka ini adalah suratan yang ditulis oleh Allah s.w.t, diwaktu si Polan ini diciptakan olehNya?

Apakah benar, andainya Allah mentakdirkan si Polan akan mati dengan cara membunuh dirinya, maka si Polan akan mati dengan cara tersebut?

Andainya tidak benar, maka bagaimana dapat saya memahami konsep, Tuhan menentukan segalanya di dalam aspek ini? Sedangkan Dia yang mengerakkan tuboh kita, lantas Dia juga yang membuat kita berfikir secara sedemikian, oleh itu, segala perbuatan kita adalah apa yang ditakdirkan olehNya termasok pabila si Polan membunuh diri? Tidakkah benar itu?

Harap sesiapa dapat memberi saya penjelasan tentang kebenaran atau kesalahan pemahaman saya.

Sekian.

Wasalam~

************************
kamin
Panel Feqh
wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab persoalan sdr Nazri78 dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Beriman kepada Qadhaa' dan Qadar itu wajib, dan umum mengetahui bahawa ia merupakan salah satu dari rukun Imam. Secara umumnya, Qadar ialah Takdir yang ditetapkan dan Qadhaa' adalah perlaksanaannya. Apa yang perlu jelas didalam fikiran kita ialah, menurut Syeikh Utsaimin, sesuai dengan kesempurnaan sifat-sifat Allah swt, Qadar atau Takdir yang Allah swt tetapkan SEMUANYA BAIK. Sebagai umat Islam, kita wajib bersangka baik dengan Allah swt. Untuk maklumat lanjut mengenai asas persoalan Qadhaa' dan Qadar, saya cadangkan anda membaca url Soal-Jawab dibawah ini :-

1. SJ-01-0015 : qadar dan qadar. url :http://www.al-ahkam.com.my/forum2/viewtopic.php?t=26736

Persoalan Qadhaa' dan Qadar merupakan satu perkara yang amat kompleks dan ia merupakan salah satu dari rahsia Allah swt. Mana mungkin seorang boleh berkata, Aku telah ditakdirkan begini dan begitu, sedangkan kita tahu bahawa Allah swt tidak pernah menzalimi hambanya. Cuba kita lihat satu scenario yang mudah, sebagai contoh si A telah dilanggar oleh kereta si B, maka berlakulah kesesakkan lalu lintas dikawasan tersebut. Disebabkan berlakunya pelanggaran tersebut , si A mati, si B di tangkap Polis, Si Ah Kow pembetul kereta mendapat reski membaiki kereta si B, Kedai insuran si B mencari helah melambatkan bayaran papasan kepada keluarga si A, keluarga si A bersedih, keluarga si B juga bersedih kerana suaminya masuk penjara, keseluruhan mereka yang menggunakan jalanraya tersebut lambat, dan ada dikalangan mereka yang mungkin menghadapi tindakan tata-tertib oleh majikan kerana lambat masuk kerja. Nah! Lihat sahaja SATU sahaja SEBAB, ia menjadi AKIBAT kepada berbelas-belas orang. Peristiwa yang enteng pada penglihatan umum, akan tetapi implikasinya agak kompleks. Namun demikian, walaupun si A menerima ajal, jika dia seorang yang beriman, matilah ia sebagai seorang yang soleh. Bagaimana dia boleh menjadi seorang yang soleh? Ini semua kerana minat dan usahanya mempelajari Islam, agama dari Allah swt yang Allah menjanjikan akan membalas pahala kepada mereka yang melakukan kebajikan.

Kita berbalik kepada persoalan sdr, iaitu "Memilih untuk membunuh diri. Suatu takdir?"; Persoalannya :-

a. Kita tahu bahawa Qadar Allah swt itu semua bersifat kebaikkan, sesuai dengan kesempurnaan dan keadilannya. Dia yang mencipta mahkluk, dan lebih tahu mana yang baik untuk hambanya. Bagaimana boleh dikatakan membunuh diri merupakan Qadar?
b. Bagaimana mungkin seseorang itu boleh menceritakan tentang Qadar / Takdir nya sedangkan itu merupakan rahsia Allah?
c. Bagaimana boleh seseorang yang rasional dan bijak tiba-tiba mengatakan kepada orang lain bahawa sudah takdirnya dia akan membunuh dirinya? Qadar / Takdir itukan rahsia Allah swt? Bagaimana kita boleh tahu rahsia tersebut? Sudah tentu perbuatan ini mempunyai rasional dibelakangnya :- mungkin dia seorang yang kecewa dan putus harapan, malah putus harapan dari rahmat Allah, lantas meletakkan kekecewaan itu sebagai Takdir Allah. Lalu mengambil keputusan membunuh diri.
---------

Elok juga kita meninjau kembali akan pelbagai pandangan beberapa golongan mentafsirkan Qadaa' dan Qadar. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi didalam bukunya Al-Imaan bil Qadar mengambarkan empat kumpulan dan berikut adalah ringkasannya :-

(1) Mereka yang menyandarkan Qadar Allah akan perbuatan maksiat yang dilakukan tergolongan dikalangan kumpulan yang dinamakan Jabariyah (الجبرية). Menurut Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, kumpulan Jabariyah (pre-destinated) merupakan golongan yang tidak yakin bahawa manusia mempunyai kemampuan yang dapat mempengaruhi takdirnya dan manusia mempunyai hak penuh dalam perbuatannya. Menurut mereka, yang melakukan perbuatan-perbuatan hamba dan yang menghendakinya adalah Allah swt. Manusia adalah tempat menyalurkan perbuatan-perbuatannya (Allah). Menunjukkan perjalanan seperti sebuah robot (كم تجرى على الآلات).

(2) Terdapat juga kumpulan yang melampau-lampau terhadap takdir yang digelar Mu'tazilah (المعتزله فرطوا في إثبات القدر). Al-Qaradhawi menyatakan bahawa kumpulan ini mengatakan : Allah swt tidak menghendaki kesesatan orang-orang yang sesat dan perbuatan maksiat para pendosa. Dia tidak mencipta perbuatan tersebut. Bahkan, dia tidak mencipta sedikit pun perbuatan-perbuatan yang didasarkan pada kemerdekaan memilih bagi seorang hamba. Menurut mereka manusia itu sendiri yang mencipta kan perbuatan buruk dan sewenang-wenangnya dengan keinginannya. Dikenali dengan gelaran Qadariyah. Sebenarnya mereka menafikan takdir, bukan meyakininya.

(3) Kumpulan ketiga ialah kelompok Asy'ariyah (الأشاعرة) yang di nisbahkan kepada Ahli Sunnah wa al-jamaah. Mereka bersih dari Jabariyah, akan tetapi ia mungkin terjebak didalam penamaan/label ini tanpa disedari. Kata Imam Al-Asy'ari :

أنه لم يجعل للإنسان قدرة مؤثرة في مقدورها، بل أثبت له شيئا سماه (( الكسب ))، فالله خالق الفعل، والعبد هو كاسبه.,
"Sesungguhnya Allah tidak memberikan kemampuan yang signifikan dalam takdirnya. Tetapi yang layak diyakini adalah sesuatu yang disebut sebagai usaha (al-Kasbu). Kerana Allah mencipta perbuatan, sedangkan manusia hanya mengusahakan/melakukan".

Maka timbul pula persoalan - 'Apa itu USAHA?'. "Usaha' didalam definasi ini tidak dapat menyelesaikan masalah. Ia juga tidak sanggup menafsirkan sebab diadakannya taklif dan konsekuensinya, dimana dengan taklif itu seseorang itu akan memperolehi dosa dan pahala. Dilihat dari sini, ia tidak lari jauh dari Jahmiyah Jabariyah yang mengabaikan kemampuan dan kekuasaan manusia.


(4) Kumpulan keempat ialah Ahli Sunnah wa al-Jamaah atau Mazhab Al-Muhaqqiqin dari ulama' al-Sunnah . 3 point yang terpenting membentuk asas kumpalan ahl sunnah iaitu :-
a. Akal penting. Perbuatan manusia adalah dari keinginan masing-masing. eg: Kalau nak makan roti, maka rotilah kita makan. Kita juga membezakan diantara perbuatan sengaja dan perbuatan tidak sengaja. Beza diantara orang yang baik tangga, dengan orang yang jatuh tangga.
b. Kata mengetahui berdasarkan syariat yang datang dari al-Quran dan Sunnah Nabi saw, bahawa Allah yang mencipta keinginan didalam diri kita. Dengan kemampuan dan keinginan yang ada didalam diri kita, kita melakukan perbuatan-perbuatan kita. Keinginan dan kemampuan inilah yang menjadikan dasar pokok taklif pada kita, maka kita beramal didalam urusan dunia dan akhirat. Disana ada pujian, ada celaan, Ada yang suka, ada yang benci.
c. Tidak menafikan bahawa Allah yang mencipta segala-galanya. Secara keseluruhan, kekuatan ini adalah; keinginan dan kemampuan, yang dengan dua hal inilah manusia melahirkan seluruh perbuatannya dengan sengaja. Allah swt menjadikan 2 hal ini sebagai sebab untuk melahirkan perbuatannya sesuai dengan sunnahNya di alam ciptaannya.

Menurut Al-Qaradhawi - Manusia tetap mempunyai keinginan yang hendak dilakukan dan memiliki kemampuan yang dapat mempengaruhi takdirnya dengan izin dan kekuasaan Allah swt. Pendapat ini didokonggi oleh Imam al-haramain al-Juwaini, Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim dsb. Walaubagaimana pun Imam Al-Asya'ari didalam kitab yang terakhirnya Ibanah ada terdapat pendapat yang menunjukkan bahawa dia hanya menafikan kemampuan seorang hamba untuk melepaskan diri dari takdir dan kekuasaan Allah, bukannya tidak ada pengaruh sama sekali.
----------

Jelas Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengatakan bahawa manusia mempunyai keinginan dan kemampuan yang dapat memberi kesan kepada takdir dengan izin Allah swt, tanpa menafikan Allah swt yang menjadikan segala aspek mengenai manusia. Al-Qaradhawi mensifatkan bahawa seseorang yang membuat pemilihan yang baik diantara 2 pilihan masih tidak lari dari takdir. Jelas beliau :-

إن الأخذ بالأسباب لا ينافي في القدر بل هو من القدر أيضا
"mencari sebab (atau memilih) tidak menafikan al-Qadar, bahkan ia termasuk al-qadar juga"

Begitu juga dengan keputusan Umar ra. untuk tidak masuk keSyam kerana terdapat wabak Taun disana, lantas seorang sahabat bertanya :

أتفر من قدر الله يا أمير المؤمنين؟ قال: نعم، نفر من قدر الله إلى قدر الله، أرأيت إن نزلت بقعتين من الأرض، إحداهما مخصبة والأخرى مجدبة، أليس إن رعيت المخصبة رعيتها بقدر الله، وإن رعيت المجدبة رعيتها بقدر الله؟
"Apakah engkau hendak lari dari Qadar Allah Ya Amirul Mukminin?" Berkata Umar "Ya, Lari dari Qadar Allah kearah Qadar Allah [juga], Apakah pandangan anda jika engkau turun pada dua petak tanah, yang satu subur dan yang satu gersang (kering kontang), bukankah jika engkau membajakan yang subur bererti engkau membajakan dengan qadar Allah? dan jika engkau membajakan yang tandus bererti engkau membajakkan dengan qadar Allah?"
--------

Kesimpulannya, peganglah kepada golongan mazhab muhaqqiqin dari ulama sunnah (golongan yang ke 4), dimana mereka berpegang kepada pendapat bahawa manusia diciptakan dengan mempunyai keinginan dan kemampuan sendiri yang dikurniakan oleh Allah swt , tanpa menafikan bahawa Allah swt adalah pencipta segala-galanya. Allah swt menetapkan Takdir yang baik kepada hambanya. Dr Sulaiman Al-Ghashan mengatakan :

ونحن لا نعلم عن المكتوب إلا بعد حصوله ، وقد جعل الله لنا إرادة وقدرة ومشيئة واختياراً لا نخرج عن قدرة الله ومشيئته ، والخلاصة أنه لا تعارض بين محاولة إنقاذ إنسان من الموت وبين قضاء الله المقدر والمكتوب والذي لا نعلمه إلا بعد حصوله ، والله تعالى أعلم .
"Kita tidak tahu apa yang telah ditulis melainkan setelah ia berlaku (after the fact). Allah telah memberi kebebasan berkehendak (Iradah) dan kebebasan memilih, tetapi kita tidak boleh pergi lebih dari ruang lingkup ketentuan Allah. Kesimpulannya, tidak terdapat percanggahan diantara seseorang yang ingin menyelamatkan seseorang dari mati dan konsep Allah Qadar Allah keatas semua perkara, dimana kita tidak mengetahuinya sehingga selepas ia berlaku" .WA.

wassalam
==========
Rujukan :

1. Shiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Al-Iman bi Al-Qadar. kaherah : Maktabah Wahbah, 2000. ms 14-19.

0 comments:

Post a Comment