Jan 23, 2009

jawapan kukuh kpd si atheist

salam'alaik..

cuma ingin bertanya,apakah hujah jawapan yg kukuh utk seorang atheist yg bertanya...benarkah Tuhan itu wujud...?
itu sahaja..sekian,wassalam

**********
al-jawhar
Panel Feqh
Salam kembali....

Atas keterbatasan masa dan waktu , kami cadangkan jawapan yang disediakan oleh Al-Fadhil Ustaz Hasrizal di link dibawah ini :

http://saifulislam.com/?p=1738

Semoga bermanfaat...

WA
--------------------------------

Perlukah Manusia Kepada Tuhan?

“Kalau kamu setuju bahawa kamu perlukan Tuhan dalam hidup ini, baru saya boleh jelaskan mengapa kamu kena solat. Jika kamu setuju bahawa kamu perlu bersolat kerana kamu perlukan Tuhan dalam hidup ini, baru saya boleh jawab soalan mengapa kamu kena pakai tudung!”, itu penjelasan yang sering saya ulang di dalam ceramah, ketika mengulas perbualan saya bersama dengan dua remaja yang memaksa saya memerah diri untuk membezakan di antara presented problem dengan real problem.

Masalah yang kelihatan ialah dirinya enggan memakai tudung, enggan bersolat, mahu membela anjing di rumah dan benci kepada JAIS yang menangkap artis di The Zouq, Jalan Ampang.

Tetapi masalah yang lebih besar, adalah kegagalan beliau melihat, apakah beliau perlu kepada Tuhan dalam hidup ini? Justeru masih relevankah agama dalam saki baki kehidupan dunia akhir zaman ini?

Jika persoalan “perlukah manusia kepada Tuhan” tidak diselesaikan, kita mahu membebel marahkan orang yang enggan bersolat, kita mahu menyuruhnya bersolat untuk menyembah apa? Menyembah siapa?

Seandainya hal ini tidak selesai, segala nasihat tentang tudung, aurat, berpakaian sopan dan sebagainya… adalah seumpama bunyi motor rempit melintas jalan di depan rumah. Mengganggu ketenteraman awam, dan menyakitkan telinga.

Cabaran terbesar bagi saya sebagai seorang pendakwah, adalah untuk mengajak manusia berfikir, “perlukah mereka kepada Tuhan?” Itulah sebesar-besar persoalan yang mesti diselesaikan, sebelum segala wacana agama mahu diketengahkan.

Sekurang-kurangnya Sheikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri telah memulakan kitabnya bertajuk Aqidah al-Mu’min, dengan topik, “Keperluan Manusia Kepada Aqidah”. Persoalan mengapa manusia perlu kepada agama, didahulukan sebelum aspek-aspek lain diketengahkan untuk perbahasan.

Namun sejauh mana pendakwah menghalusi keperluan menyelesaikan soalan ini seperti yang ditunjukkan oleh Sheikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri, sebelum dengan mudah kita berbahasa klise, “Aqidah Itu Penyelesaian”?

Inilah isu yang memaksa saya untuk meneliti persoalan-persoalan asas tersebut, kerana saya amat terganggu dengan hakikat semasa bahawa manusia sudah terputus talian dengan Tuhan. Jika di era hidup yang serba susah, kita menyuruh manusia beriman kepada Tuhan demi mencari kekuatan, ia tidak rumit. Tetapi dalam suasana kehidupan manusia yang serba ada pada hari ini, bagaimanakah Tuhan dan Akhirat, masih relevan?

PENGALAMAN BERAGAMA

Saya suka meminjam sebahagian pengalaman Rene Descarte (1596 - 1650) dalam usahanya membina asas kebenaran. Bersekolah di Jesuit School La FlĂȘche, beliau menghabiskan pengajian dengan soalan paling besar, “apakah apa yang kupelajari selama ini, adalah benar?”

Alangkah segarnya diri, untuk menghumban segala ilmu yang dikumpul di atas segulung ijazah, dan kemudian membina semula kepercayaan hasil pilihan, bukan lagi sumbatan, warisan dan indoktrinasi yang melesu lagi merabunkan.

Lantas beliau mula mempertikaikan segala apa yang dipelajarinya selama ini, meragui segala-galanya hingga akhirnya Descarte tiba kepada asas yang paling kukuh, yang tidak mungkin ada sebarang keraguan… iaitulah hakikat diri!

Beliau tidak dapat meragui dirinya kerana beliau dapat merasakan bahawa dirinya adalah realiti, bukan ilusi. Beliau dapat memastikan dirinya realiti, kerana beliau melakukan sesuatu yang penting iaitu BERFIKIR. Berfikir menjadikan dirinya realiti, dan bukan bermimpi, jauh sekali berilusi. Lantas terpacul kata-katanya yang masyhur:

“Aku meragui, lantas kuberfikir. Aku berfikir, lantas kutemui diri”

Itu cara Descarte mencari kebenaran untuk dirinya. Rasional sekali, memulakan kembara dengan mengenal pasti diri. Berfikir lalu bertemu diri.

KENAL DIRI

Jalan membina kepercayaan harus terbina di atas usaha manusia mengenal diri. Itulah asasnya agama kita mengajar:

“Barangsiapa yang kenal akan dirinya, maka kenallah dia akan Tuhannya” [sila rujuk komen ke-13 di bawah untuk keterangan mengenai qaul ini]
--------------------------------------------------
{ Abu Saif April 14th, 2008 at 8:09 pm
Wsalam.
Saya menggunakan ayat “ISLAM MENGAJAR KITA…” kerana mahu mengelakkan perbahasan tentang qaul man arafa nafsahu faqad arafa rabbahu” itu. tetapi bagus jika boleh dikongsi di ruangan komen ini.
Abu Muzaffar ibn al-Sam’ani mengatakan bahawa qaul ini tidak tsabit sebagai hadith. Ia diriwayatkan dari Yahya ibn al-Muadz al-Razi, bahawa qaul ini adalah qaul Yahya. Imam an-Nawawi juga memberikan pandangan yang sama bahawa ia tidak tsabit sebagai hadith nabi saw (keterangan oleh Imam Sakhawi dalam Madasud al-hasanah).
Jika qaul ini dinisbahkan kepada Nabi SAW maka ia menjadi hadith palsu. Akan tetapi jika ia dinisbahkan kembali kepada Yahya ibn al-Muadz al-Razi, maka ia menjadi kata-kata yang memberi kebaikan. Maka janganlah disangka qaul ini sebagai Hadith dan jangan sekali-kali ia dinisbahkan kepada Nabi SAW.
Golongan Wahdatul Wujud yang ‘memanipulasi’ qaul ini, harus dilihat sebagai kesalahannya datang dari mereka dan bukan dari qaul ini.
Wallahu A’lam bi al-Sawaab }
------------------------------------------------
Kenal Tuhan melalui jalan Kenal Diri…

Itulah kuncinya untuk manusia kembali menjalin hubungan dengan Tuhan. Iaitu hasil keupayaan mengenal diri. Soalnya ialah, apakah aspek diri yang mahu dicari?

Manusia yang meneroka diri, akan bertemu dengan dua realiti. Setiap insan, mempunyai kekuatan dan kelemahan. Kekuatan dan kelemahan inilah yang mesti dikenal pasti, untuk manusia meneroka dan mengenal diri.

Manusia yang sedar bahawa hidupnya harus berperanan akan memaksa diri untuk mencari potensi. Semuanya atas keyakinan bahawa tiada manusia yang lahir dengan asal kebodohan, sebaliknya setiap insan lahir dengan kepandaian-kepandaian yang berbeza.

Apa yang membodohkan seorang manusia adalah segala yang ada di sekitarnya. Mungkin ibu bapa, malah mungkin juga guru dan sekolah itu sendiri. Sekolah tidak sepatutnya melahirkan pelajar yang pandai dan bodoh. Sebaliknya sekolah harus melahirkan pelajar yang berbeza-beza kepandaian. Tugas sistem pendidikan adalah untuk meneroka potensi kelebihan setiap pelajar, bukan mengasingkan pelajar yang tidak mengikut bentuk kepandaian yang diselaraskan.

Tetapi manusia tidak akan dapat mengenal pasti kelebihan diri jika dia hidup ala kadar. Kerja ala kadar. Berfikir ala kadar.

“Buat kerja betul, betul-betul!”, kata bijak pandai.

Mengusahakan sesuatu secara bersungguh-sungguh akan mempercepatkan manusia menggunakan segala kekuatan dan kelebihan diri. Setelah segala kekuatan diri dikenal pasti, bertemulah dia dengan batasan dan kelemahan diri.

Itulah jalan saintis bertemu Tuhan. Baginya sains bukan sekadar penerokaan peluang, tetapi akuran terhadap batasan mutlak di kiri dan kanan. Batasan itu bukan berpunca dari alam yang kelihatan, tetapi dari diri yang terlalu kerdil untuk menggarapnya.

Itulah akibatnya meneroka angkasa lepas, bahawa manusia dan Sains, terlalu kerdil untuk menawarkan jawapan kepada persoalan alam. Kebanyakan yang kita fahami tentang angkasa, adalah tafsiran data dan jauh dari kesan pengalaman. Data yang membuktikan kesempurnaan sistem alam, dan kelemahan penghuninya yang bernama manusia.

Saintis menjadi manusia yang lemah dan terbatas, di hadapan kesempurnaan sistem yang dibuktikan, kesempurnaan Tuhan.

KEKUATAN MENEMUKAN KELEMAHAN

Allah berikan manusia kelebihan untuk kita berperanan.

Allah berikan manusia kelemahan untuk kita mencari Dia.

Manusia tidak mampu sentiasa kenyang. Dia akan lapar. Dan kelaparan itu mendesak dirinya mencari makanan. Hasil makanan, kelemahannya dapat diatasi. Buat sementara.

Manusia tidak mampu untuk sentiasa segar. Dia akan letih dan mengantuk. Tanpa perlu diajar-ajar, keletihan dan mengantuk itu mendesak dirinya untuk mencari kerehatan. Hasil kerehatan, manusia memulihkan kekuatan. Buat seketika.

Itu kelemahan fizikal manusia. Tanpa perlu diajar-ajar, kelemahan itu memandu manusia kepada sumber kekuatan untuk mengatasinya. Kelemahan yang muncul dalam bentuk kelaparan, mendesak manusia mencari kekuatan melalui makan. Kelemahan yang muncul dalam bentuk letih dan mengantuk, mendesak manusia mencari kekuatan melalui kerehatan dan tidur.

Kelemahan dan batasan manusia bukan hanya pada fisiologi dirinya, bahkan jiwa, emosi… rohani.

Tanpa perlu diajar-ajar, manusia yang ditindas dan dizalimi, akan merintih jiwanya mencari keadilan. Rintihan jiwa manusia yang dizalimi itu mencari keadilan, adalah jalan untuk dia bertemu dengan Tuhan. Di situ Allah memperkenalkan Diri-Nya sebagai YANG MAHA ADIL (AL-‘ADL).

Tanpa perlu diajar-ajar, manusia yang keresahan dan ketakutan, akan merintih jiwanya mencari keamanan dan keselamatan. Rintihan jiwa manusia yang hidup dalam keresahan dan ketakutan itu, adalah jalan untuk dia bertemu Tuhan. Di situ Allah memperkenalkan Diri-Nya sebagai YANG MAHA SEJAHTERA (AL-SALAM) dan YANG MAHA MENGAMANKAN (AL-MU’MIN).

Di situlah tujuan Allah SWT memperkenalkan Diri-Nya dengan 99 nama, agar setiap manusia datang kepada-Nya melalui tawaran KEKUATAN, tatkala manusia dibelenggu KELEMAHAN.

SOALNYA

Manusia akan hanya berhajat kepada Tuhan, apabila mengiktiraf kelemahan diri. Kelemahan diri tidak akan tertonjol jika manusia tidak bersungguh mengoptimumkan upaya diri. Kesungguhan itu tidak ada jika manusia malas dan acuh tidak acuh terhadap kehidupan.

cairo1880.jpg

Justeru jatuhlah hukuman paling berat di alam ini, ke atas jenayah paling binasa… apabila manusia HIDUP SAMBIL LEWA dan MALAS BERFIKIR.

Malas itu DOSA kerana ia menyekat manusia dalam kewajipan mengenal diri dan mengenal Tuhan.

Manusia inilah yang menyangka dirinya tuhan…

jatsiyah23.jpg

“Tidakkah engkau perhatikan gelagat orang yang bertuhankan hawa nafsu dirinya sendiri? Dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [Al-Jatsiyah : 23]

Sedangkan hakikatnya, dia lebih sesat dari haiwan ternakan…

al-aaraaf179.jpg
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Al-A'raaf : 179]

Kedua-dua ayat di atas, mengaitkan hidup manusia yang bertuhankan diri, serta hidup ala-ala binatang, sebagai berpunca dari akal, mata, telinga dan hati yang tidak berfungsi. Kedua-duanya berpunca dari keengganan berfikir dan memerhati kehidupan. Diberi akal, dengan mata dan telinga untuk melihat dengan hati… tetapi kesibukan duniawi menjadikan manusia lupa siapa dirinya dan siapa DIA.

Selayaknyalah manusia yang alpa ini dihukum Tuhan kerana culas dalam mencari.

Fikir-fikirkanlah…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

0 comments:

Post a Comment