Jan 20, 2009

Penghuni Neraka

Salam
Saya ingin tahu mengenai satu hadith ada yang mengatakan perpecahan umat Islam pada akhir zaman kepada 73 golongan, dan cuma satu sahaja yang memasuki syurga, iaitu mereka yang mengamalkan ajaran al-quran dan Sunnah. Apakah baki 72 golongan itu akan memasuki neraka selama-lamanya atau tidak?

terima kasih...

*****************
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab persoalan yang dikemukakan oleh sdr mukminin dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Hadith yang diatas (menunjukkan perpecahan Yahudi, Nasrani dan Islam) berbunyi :-

( افترقت اليهود على إحدى وسبعين فرقة ، وافترقت النصارى على اثنين وسبعين فرقة ، وستفترق أمتي على ثلاث وسبعين فرقة كلها في النار إلا واحدة ، قيل : ومن هي يا رسول الله ؟ قال : ( من كان على مثل ما أنا عليه اليوم وأصحابي ) . وفي لفظ : ( هي الجماعة ) .

"Yahudi berpecah menjadi 71 golongan, Nasrani berpecah kepada 72 golongan, dan umatku akan berpecah menjadi 73 golongan. Semuanya berada didalam neraka kecuali satu, baginda telah ditanya : Siapa dia ya Rasulullah? Baginda menjawab : Mereka yang mengikuti cara aku dan sahabatku sebagaimana hari ini". Didalam lafaz yang lain :"iaitu Jamaa'ah".

Hadith ini telah dibincangkan oleh Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam buku beliau "al-Shahwah al-islamiyyah baina al-Ikhtilaafi Al-Masyruu' wa Al-Tafaariqi Al-Madzmuum" dan dibincangkan sekali lagi didalam buku Fatawa Mu'aasyirah Jilid III ms, 83 dibawah bab :Perpecahan Umat Islam kepada 73 Fiqah. Kami cuba mengambil beberapa catatan-catatan penting dari fatwa beliau untuk renungan kita bersama.

Ringkasan fatwa al-Qaradhawi mengenai hadith diatas:-

1. Perlu diketahui pertama-tama kalinya bahawa hadith ini tidak tercatat didalam Shahih Bukhaari dan juga Shahih Muslim (walaupun Tirmudzi mengkelaskan sebagai sahih). Walaupun ada yang mengatakan tidak semua hadith sahih dapat dikumpulkan oleh Bukhaari dan Muslim, namun demikian persoalan yang penting seperti ini amat diberi perhatian oleh kedua-dua muhadith tersebut, sekurang-kurang mereka akan memasukkan suatu riwayat dari permasalahan diatas. Tidak mungkin kedua-duanya mengabaikan permasalahan penting ini.

2. Terdapat beberapa riwayat hadith yang serupa dengannya tidak menyebut "semua golongan akan masuk neraka, kecuali satu", namun hanya menyebut perpecahan dan bilangan golongan/firqah sahaja. Ini diriwayatkan hadith Abu Hurairah ra : Sabda Nabi saw :-

افترقت اليهود على إحدى - أو اثنتين - وسبعين فرقة ، وافترقت النصارى على إحدى - أو اثنتين - وسبعين فرقة ، وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين فرقة.

"Yahudi terpecah menjadi 71 (atau dua) firqah, Nasrani berpecah kepada 71 (atau dua) firqah, dan Umatku akan berpecah menjadi 73 firqah." -[Hadith riwayat Abu Daud, Tirmudzi, Ibn Hibban, Ibn Maajah, al-Hakim).

Walaupun ia dinilai sebagai hasan-sahih oleh Tirmudzi, dan sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim, namum periwayatan tertumpu kepada Muhammad bin Amru bin Al-qamah bin Waqqash al-Laitsi. Ibn Hajar didalam Tahdziib at-Tahdziib mengatakan bahawa hafalan beliau lemah dan tidak ada seorangpun menilainya sebagai tsiqah. Menurut Shiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi bahawa penguatan darjat hadith melalui banyaknya periwayatan tidaklah mutlak, terutamanya menurut ulama-ulama dahulu. Lihatlah betapa banyaknya hadith yang mempunyai banyak riwayat, namun mereka dinilai dha'if, seperti banyak terdapat didalam buku Jarh wa ta'dil.

Hadith ini juga mempunyai masalah didalam matannya. Berlakunya perpecahan, dan hanya satu sahaja firqah yang didakwa masuk syurga. Maka dengan itu wujudlah golongan-golongan yang mengaku tergolong kepada firqah/kumpulan yang satu tadi. Hal ini tentu sekali akan memecah belahkan umat Islam, mendorong mereka kepada cela-mencela diantara satu sama lain, kafir mengkafir diantara satu sama lain, sehingga melemahkan umat dan menguatkan musuh.

Ibn Waziir (al-Awashim wa al-Qawashim) mencurigai hadith ini secara umum dan juga penambahan yang dibuat didalamnya. Kekhuatiran beliau adalah kerana kemungkinan ia akan membawa kepada penyesatan umat diantara satu sama lain. Kata beliau :

وإياك وإغترار بـ "كلها في النار إلا واحدة" فإنها زيادة فاسدة، غير صحيحة القاعدة، ولا يؤمن أن تكون من دسيس الملاحدة!

"Hendaklah anda berhati-hati agar tidak terjebak didalam kenyataan 'semuanya akan binasa kecuali satu firqah', kerana kenyataan ini adalah hasil penambahan yang buruk, tidak sahih, dan tidak boleh dijamin kalau ia bukan dari penerapan orang-orang kafir!"

3. Beberapa ulama dahulu dan masa kini ada yang menolak hadith tersebut dari segi sanadnya, dan sebahagian yang lain menolaknya dari segi matan dan maknanya. Abu Muhammad bin Hazm menolak hadith-hadith yang mengkafirkan kelompok yang lain sesama Islam kerana perbezaan pendapat dan masalah-masalah aqidah. Imam Al-Syawkani juga mendhaifkan penambahan hadith tersebut didalam komentarnya terhadap hadith ini yang diguna-pakai oleh Ibn Kathir, katanya :-

أما زيادة (كلها في النار إلا واحدة) فقد ضعيفها جماعة من المحدثين، بل قال ابن حزم: إنها موضوعة.

"Tambahan 'semuanya masuk neraka kecuali satu' telah dinilai sebagai dhaif oleh beberapa ulam' hadith, bahkan Ibn Hazm menyebut : sesungguhnya ia adalah maudhu'"

Namum demikian, walaupun hadith ini dinilai shahih oleh beberapa ulama seperti Ibn Hajar dsb, ia tidak menunjukkan bahawa perpecahan umat dan bentuk seperti ini dengan bilangan yang sebegitu rupa. Bagi mereka yang berpegang kepada kebenaran hadith ini, cukuplah bagi hal demikian terjadi dalam lingkungan waktu tertentu sahaja.

Berada didalam neraka, tidak bererti kekal didalamnya selama-lamanya, seperti kekalnya orang-orang kafir. Namun demikian ia hanya masuk seperti masuknya orang yang melakukan maksiat. Mereka berkemungkinan mendapatkan syafaat, seperti dari Nabi, malaikat, atau beberapa orang yang beriman. kemungkinan juga mereka mempunyai amalan kebajikan yang dapat menghapuskan keburukan mereka, dan kemungkinan menerima dugaan dan musibah yang melanda keatas mereka sebelum ini yang menyebabkan terhapusnya dosanya, atau mereka diselamatkan dari azab.

Mereka juga boleh mendapatkan keampunan Allah swt semata-mata kerana kasih-sayangnya, lebih-lebih lagi mereka yang berusaha mencari kebenaran, akan tetapi tidak bernasib baik lalu tergolong kepada kumpulan tersebut. Dan Allah telah mengampunkan dosa umat ini atas perbuatan yang tidak disengajakan, terlupa dan akibat dipaksa.
-------------

Demikian ringkasan dari fatwa Shiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi terhadap hadith perpecahan umat Islam. Beliau lebih cenderung kepada ulama yang mengatakan bahawa ia bukanlah hadith sahih samada dilihat dari segi sanad maupun matannya. Bagi mereka yang melihat keshahihan hadith ini, cukuplah ia berlaku pada satu lingkungan waktu yang tertentu sahaja. Semua orang Islam akan masuk ke dalam syurga, kecuali orang yang melakukan syirik. Ada dikalangan umat Islam yang masuk syurga cepat, kerana kesolehannya, dan ada yang lambat kerana kemaksiatannya, di azab di dalam neraka, dan akhirnya dimasukkan ke syurga. WA.

wassalam
------------
Rujukan

1. Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Fataawa Mu'aasyirah - III. cetakan ke 2. Kuwait : Dar al-Qalam, 2002. ms 83-87.

0 comments:

Post a Comment