Jan 20, 2009

Qada' Dan Qadar

assalamualaikum...
apakah maksud kadar dan qadar itu mngikut penafsiran ulama dan hadith2 nabi saw?adakah qada&qadar yg baik itu dari allah semuanya?saya terjumpa banyak hadith yg mnguatkannya ttapi semuanya apbl dikaji maudu'.adkah ada hadith yg sahih mngenainya?
sekian minta pandangan daripada ust2 yg lebih arif .
wassalam

**************
wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr alhakim dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Beriman kepada Qadhaa' dan Qadar menjadi rukun Imam kepada individu mukmin. Akan tetapi seringkali persoalan ini tersilap mengerti akan maksud yang sebenarnya, sehingga ada yang menyebut, buat apa kita usaha lagi, sebab semuanya sudah ditentukan. maka timbullah mereka-mereka yang tidak secara langsung menghidupkan kembali akan pemikiran Jabbariyah dengan anggapan manusia tidak mempunyai kemampuan, kekuasaan dan ikhtiar. Allah Taala menciptakan perbuatan-perbuatan sebagaimana diciptakannya pada benda-benda mati (jamad). Disana ada juga mereka yang begitu yakin akan segala-galanya boleh diusahakan 100%, semuanya didalam genggaman manusia. Perkataan ini selalu timbul dari kalangan mereka yang berjaya, lantas ini seolah-olah menjadi mereka pendokong kepada ideologi Qadariah yang berpendapat manusia bebas melakukan kehendaknya dan Allah tidak mempunyai pengetahuan (ilmu) mengenainya dan ia terlepas dari takdir (qadar).

Ibn Umar ra. telah memperingatkan kita mengenai kewajipan beriman dengan Qadha' dan Qadar. Didalam Sahih Muslim, telah diriwayatkan bahawa Ibn Umar ra telah mendengar beberapa orang yang menafikan al-qadar. Beliau berkata :-

إذا لقيت هؤلاء فأخبرهم أني براء منهم وأنهم برآء مني ، والذي يحلف به عبد الله بن عمر ( أي : يحلف بالله ) لو كان لأحدهم مثل أحد ذهبا ثم أنفقه ما قبله الله منه حتى يؤمن بالقدر
"Jika aku berjumpa orang-orang ini aku akan memberitahu mereka bahawa aku tidak ada kena mengena dengan mereka dan mereka tidak ada kena mengena dengan aku, yang mana Abdullah bin Umat bersumpah, jika salah seorang dari mereka mempunyai emas sejumlah bukit Uhud dan membelanjakannya, Allah tidak akan menerimanya sehingga mereka beriman dengan al-qadar"

Definisi Al-Qadhaa' dan Al-Qadar

Al-Qadhaa' (القضاء) boleh membawa erti penyudahan (completion - (إِتْمام), implementasi, pencapaian (إِنْجاز), mencapai kehendak (fulfillment - (تَلْبِيَة) - Ia juga boleh membawa maksud respon (إجَابَة) dan juga hukuman/judgment (حُكْم) atau keputusannya hukum/verdict( قَرَار).

Al-Qadar (قَدَر) membawa erti nasib/fate ( نَصِيب), takdir dsb.

Boleh disimpulkan definasinya sebagai :-

القضاء لغة : هو إحكام الشيء وإتمام الأمر ، وأما القدر فهو في اللغة: بمعنى التقدير
"Al-Qadhaa' dari segi lughah : sesuatu yang sempurna dan perintah yang dipenuhi, dan bagi Al-Qadar pula bermakna Takdir."

Al-Qadhaa' dan Al-Qadar menurut syara' bermaksud :-

القدَر : هو تقدير الله تعالى الأشياء في القِدَم ، وعلمه سبحانه أنها ستقع في أوقات معلومة عنده وعلى صفات مخصوصة ، وكتابته سبحانه لذلك ، ومشيئته له ، ووقوعها على حسب ما قدرها ، وخَلْقُه لها .
"Qadar ialah takdir Allah swt keatas sesuatu perkara sejak azali (Al-Qadim), pengetahuannya (Allah swt) yang telah datang waktu yang diketahui olehnya dan caranya yang khusus sebagaimana kehendak dan takdirnya. Ia akan berlaku sebagaimana cara yang ia kehendaki dan sebagai yang diciptakan"

Secara ringkasnya, Qadar ialah Takdir yang ditetapkan dan Qadhaa' adalah perlaksanaannya.
---------------
Empat skop beriman kepada Qadhaa' dan Qadar

Beriman dengan Qadhaa' dan Qadar meliputi 4 perkara :-

1. Beriman bahawa Allah swt mengetahui segalanya, samada secara umum atau secara terperinci, samada ada perbuatannya atau perbuatan hambanya. Firman Allah swt :-

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ.
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" - [al-Zalzalah 99:7-8]

2. Beriman bahawa Allah swt telah menulisnya didalam al-Lawh Al-Mahfuz (اللوح المحفوظ). Firman Allah swt :-

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاءِ وَالأَرْضِ إِنَّ ذَلِكَ فِي كِتَابٍ إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
"Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Luh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah." - [al-Hajj 22:70]

Dari Abdullah ibn 'Amr ibn Al-'Aas berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda :

كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ
"Allah telah menulis Qadar makhluknya 50,000 sebelum ia mencipta syurga dan dunia" - [Sahih Muslim #2653]

3. Beriman bahawa apa sahaja yang berlaku adalah diatas kehendak Allah swt - samada perbuatannya atau perbuatan makhluknya. Firman Allah swt :-

وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ
"Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan)" - [al-Qasas 28:68]

وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ
"dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. " - [Ibrahim 14:27]

4. Beriman bahawa semua perkara yang berlaku dicipta oleh Allah swt didalam zat, sifat dan pergerakannya. Firman Allah swt :-

اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ
"Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dialah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya. " - [al-Zumar 39:62]

وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيراً
"dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna." - [al-Furqaan 25:2]

----------------
Apakah berbeza diantara al-Qadhaa' dan Al-Qadar?

Menurut Syiekh Muhammad Al-Hamd :-

من العلماء من فرق بينهما ، ولعل الأقرب أنه لا فرق بين ( القضاء ) و ( القدر ) في المعنى فكلٌ منهما يدل على معنى الآخر ، ولا يوجد دليل واضح في الكتاب والسنة يدل على التفريق بينهما ، وقد وقع الاتفاق على أن أحدهما يصح أن يطلق على الآخر ، مع ملاحظة أن لفظ القدر أكثر وروداً في نصوص الكتاب والسنة التي تدل على وجوب الإيمان بهذا الركن . والله أعلم .
"Ada dikalangan ulama' yang mengatakan bahawa terdapat perbezaan diantaranya, akan tetapi moga-moga pandangan yang benar ialah tidak terdapat perbezaan makna diantara al-qadhaa' dan al-qadar, dan kedua-duanya saling merujuk kepada yang lain. Tidak terdapat dalil yang jelas didalam Al-Quran dan Al-sunnah menunjukkan perbezaan diantara keduanya. Ulama' bersetuju bahawa kedua-dua boleh gunakan, akan tetapi eloklah dinyatakan bahawa perkataan qadar yang selalu dipakai didalam teks Al-Quran dan Sunnah, yang menunjukkan kita mesti beriman dengan rukun ini. wallahu'alam."

Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan bahawa jika kedua istilah (qadhaa' dan qadar) digandingkan bersama, ia boleh memberi dua pengertian. Jika Allah menetapkan terjadinya sesuatu pada waktu yang ditentukan, maka itulah yang dinamakan Qadar. Dan ketika telah datang waktunya terjadinya sesuatu yang telah ditetapkan sebelumnya itu, maka itulah yang dinamakan Qadhaa'. Jika istilah ini digunakan secara berasingan, maka ia membawa satu makna.

-----
Apakah Al-Qadar baik itu dari Allah?

Jika kita merujuk kembali kepada point 1 dari 4 perkara yang kita wajib beriman mengenai al-Qadhaa' dan Al-Qadar, maka sudah tentu, tidak ada sesuatu perkara pun yang tidak terlepas dari pengetahuan Allah swt, baik secara umum atau secara terperinci. Persoalannya ialah, Apakah al-Qadar itu meliputi perkara yang buruk? Syiekh Ibn Utsaimin mengatakan bahawa "qadar Allah tidak ada sesuatu yang buruk, akan tetapi keburukan itu terdapat pada yang ditakdirkan.". Allah swt melakukan sesuatu dengan mempunyai tujuan kebaikkan didalamnya, cuma sebagai hamba Allah swt tidak semua hikmah sesuatu takdir dapat kita ketahui rahsianya. Begitu juga jika dilihat dari qadar Allah yang umum, diturunkan dengan sebab-sebab kebaikan yang umum; contoh di turunkan Nabi Muhammad saw untuk kesejahteraan sekalian alam, firmannya :-

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam". - [al-Anbiya’ 21:107]

Berkata Ibn Qayyim berkenaan dengan al-qadar :-

إنه سبحانه حكيم ، لا يفعل شيئاً عبثاً ولا لغير معنى ومصلحة وحكمة ، وهي الغاية المقصودة بالفعل ، بل أفعاله سبحانه صادرة عن حكمة بالغة لأجلها فَعَل ، كما هي ناشئة عن أسباب بها فعل ، وقد دل كلامه وكلام رسوله صلى الله عليه وسلم على هذا
"Sesungguhnya Allah swt Maha Bijaksana, tidak melakukan sesuatu sia-sia atau melakukan perkara yang tidak ada faedah, perbuatannya mempunyai matlamat, bahkan perbuatannya adalah hasil dari Maha Bijaksana, sebagaimana hasil dari sebab perbuatan, ini dinyatakan dari perkataannya dan perkataam Rasulullah saw"

-----------------
Apakah usaha dan pilihan manusia masih didalam lingkungan al-Qadar?

Beriman dengan al-Qadhaa' dan Al-Qadar tidak berlawanan dengan keupayaan manusia boleh memilih dan berusaha. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan :-

فإن كل إنسان يعلم أن له مشيئة وقدرة بهما يفعل وبهما يترك ، ويفرق بين ما يقع بإرادته كالمشي ، وما يقع بغير إرادته كالارتعاش ، لكن مشيئة العبد وقدرته واقعتان بمشيئة الله تعالى وقدرته ، لقول الله تعالى : ( لِمَنْ شَاءَ مِنْكُمْ أَنْ يَسْتَقِيمَ - وَمَا تَشَاءُونَ إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ ) التكوير /28-29.
ولأن الكون كله ملك لله تعالى فلا يكون في ملكه شيء بدون علمه ومشيئته .
"Setiap insan tahu bahawa mereka mempunyai keinginan dan keupayaan melakukan apa yang dia mahu atau tidak, dia boleh membezakan antara perkara-perkara yang berlaku apabila ia mahukannya, seperti berjalan, dan perkara yang berlaku kepadanya tanpa ia kehendaki, seperti mengigil. Akan tetapi kehendak dan keupayaan manusia tertakluk kepada al-Qadar Allah swt, firman Allah :-

"Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam."- [al-Takweer 81:28-29]

Keseluruhan alam ini adalah milik Allah, dan tidak ada sesuatu pun boleh berlaku didalam pemilikannya tanpa pengetahuan dan kehendaknya" - tamat petikan

Syiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam membicarakan masalah ini mengatakan :-

إن الأخذ بالأسباب لا ينافي في القدر بل هو من القدر أيضا
"mencari sebab (atau memilih) tidak menafikan al-Qadar, bahkan ia termasuk al-qadar juga"

Contohnya: orang yang sakit berusaha mencari ubat, ini juga dinamakan qadar. Syiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan : Ketika Rasulullah saw ditanya mengenai ubat dan sebab-sebab atau usaha yang mungkin dapat melindungi seseorang dari sesuatu yang tidak diingini dapat menolak takdir Allah swt, baginda menjawab dengan jelas "Ini termasuk qadar (takdir Allah juga" (هي من قدر الله)- Hadith riwayat Ibn Majah dan Tirmudzi.

Ketika berlakunya wabak di Syam, Umar ra bermesyuarat dengan para sahabat dan beliau telah mengambil keputusan untuk tidak masuk ke Syam dan pulang kepada kaum muslimin. Mendengar keputusan tersebut, seorang sahabat bertanya :

أتفر من قدر الله يا أمير المؤمنين؟ قال: نعم، نفر من قدر الله إلى قدر الله، أرأيت إن نزلت بقعتين من الأرض، إحداهما مخصبة والأخرى مجدبة، أليس إن رعيت المخصبة رعيتها بقدر الله، وإن رعيت المجدبة رعيتها بقدر الله؟
"Apakah engkau hendak lari dari Qadar Allah Ya Amirul Mukminin?" Berkata Umar "Ya, Lari dari Qadar Allah kearah Qadar Allah [juga], Apakah pandangan anda jika engkau turun pada dua petak tanah, yang satu subur dan yang satu gersang (kering kontang), bukankah jika engkau membajakan yang subur bererti engkau membajakan dengan qadar Allah? dan jika engkau membajakan yang tandus bererti engkau membajakkan dengan qadar Allah?"
-----------------

Kesimpulannya, al-Qadar Allah semuanya baik, sesuai dengan sifat kesempurnaan, Allah swt tidak akan melakukan sesuatu itu dengan sia-sia sahaja. Persoalan Qadhaa' dan Qadar ini merupakan salah satu Rahsia Allah swt yang tidak mungkin dapat diketahui oleh umatnya secara terperinci. Kita memahami konsep Al-Qadar melalui Al-Quran dan juga hadith Nabi saw yang sahih oleh kerana sedikit sangat yang kita tahu mengenai al-qadarnya. Memadailah 4 perkara yang dipaparkan diatas merangkumi skop-skop yang perlu kita Imani didalam Qadhaa' dan Qadar. WA.

wassalam
===========
Rujukan :

1. Ust Zainudin Yusro. Al-Firaq: Aliran-aliran dalam Islam url : http://www.al-ahkam.com.my/forum2/viewforum.php?f=31

2. Sheikh Ibn Utsaimin. Risaalat Sharh Usool al-Imaan. Muaasasah Ibn Utsaimin, 2000.

3. Shiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Fataawa Mua'syirah - 1. cetakan ke 9. Kuwait : Dar Al-Qalam, 2001. url : http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=253&version=1&template_id=8&parent_id=1

4. Shiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Al-Iman bi Al-Qadar. kaherah : Maktabah Wahbah, 2001.

2 comments:

Anonymous said...

Mengikut AL-Quran, hanya ada konsep "Qadr" iaitu segala sesuatu dijadikan dengan kadar masing2, dengan had dan kemampuan tertentu, dengan ukuran masing2, dengan kemampuan masing2. Byk sekali dalil dalam Al-Quran seperti "inna kulla syaiin khalaknahu biqadarin" (sesungguhnya segala sesuatu Kami jadikan dgn had dan kemampuan tertentu", "qad ja'alallahu kulli sain qadr" (segala-galanya Allah jadikan had dan kemampuan masing).

Maksudnya, tidak ada kuasa yang Maha kuasa selain dari Allah. Kita wajib percaya bahawa hanya Allah SWT sahaja yang maha berkuasa, yang lain adalah lemah dan tdk dpt menandingi kekuasaan Allah SWT.

Keyakinan tauhid atau keesaan Allah SWT memang tidak boleh dipertikaikan, hanya Dia sahaja yang maha Esa, dan Maha Kuasa.

Konsep Qada' memang tidak ada dlm Quran, ianya hanya ditambah atau diada-adakan. sekali tindak-tanduk manusia belum ditulis lagi, sbb itu ada malaikat yg sentiasa menulis segala peri-laku manusia. Kalau segala-galanya sudah ditulis sejak azali lagi, kenapa perlu nak ditulis lagi sekali, buka sajalah kitab yg telah ditulis. buat apa nak membazir waktu dan tenaga!

Nas dari Al-Quran amat jelas sekali bahawa segala perilaku manusia akan ditulis oleh malaikat. Tambahan pula byk ayat2 Quran yg menjelaskan manusia bebas melakukan apa saja, mereka menanggung sendiri segala hasil usaha masing. Allah SWT tidak campur-tangan dlm perlakuan manusia.

Wallahu a'lam.

Anonymous said...

apa beza takdir dan nasib??

Post a Comment