Jan 23, 2009

satu pertanyaan dari hati yang resah

maafkan saya saudara,

kiranya pertanyaan ini berada di tempat yang salah, saya seorang lelaki islam yang jahil. Jiwa saya sejak akhir-akhir ini begitu resah dan gelisah. soalan saya

1. Kenapa masa kita berada dalam kejahilan rezeki kita banyak dan ketika kita cuba hampir kepadaNya kita tidak mempunyai apa-apa.

2.Setiap kali sujud akhir dalam smbyh kenapa dosa masa silam terbayang kembali.

3.Masih adakah keampunan dariNya walaupun kita pernah berlaku Syirik terhadap Allah.

4.Adakah ada insan memang ditakdirkan hidupnya didunian ini sia-sia saja, tidak memiliki apa-apa kecuali dirinya dan tuhanya serta disisih oleh semua manusia.

5.Kenapa dalam mencari sinar tuhan, perjalanannya penuh dengan ranjau dan duri sehingga kita merasa kecewa dengan dunia, masyarakat dan Tuhan.

Maafkan saya jika pertanyaan ini lucu buat saudara disini
delete aje post ini jika soalan saya ini tidak bernilai untuk dijawab.

************
Abu_syu'aib
Panel Feqh
بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وبعد

Kepada saudara yang bertanya ianya bukanlah satu soalan yang lucu tapi saya rasakan ianya suatu pertanyaan yang lahir dari lubuk hati yang ikhlas…

Katahuilah wahai saudaraku Allah s.w.t. itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Allah s.w.t. mendengar setiap permisalam...ntaan hamba-hambaNya,
dan Allah amat suka kepada hamba-hambaNya yang meminta kepadaNya. Pohonlah kepadaNya, mengadulah kepadaNya, anda perlu meyakini bahawa doa anda diterima olehNya.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah berfirman, Berdoalah kepada Ku, Aku akan perkenankan untukmu.
(Surah al-Mukmin: 60)

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, (katakanlah) bahawasanya Aku ini sangat dekat, Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu (Surah al-Baqarah: 186)

Kewajipan kita di dalam berdoa mestilah Husnu al-Zhan (bersangka baik) terhadap Allah s.w.t. bahawa Allah akan menerimanya.

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً.

Maksudnya:
“Allah berfirman: Aku sentiasa bersama apa yang disangkakan oleh hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia berzikir dalam dirinya Aku akan mengingatinya seperti itu juga. Jika dia berzikir di khalayak ramai, Aku akan mengingatinya di khalayak yang lebih baik dari itu. Jika dia mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Jika dia mendekati-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan berlari-lari anak.” (Al-Bukhari)

Hayatilah firman Allah di dalam sebuah hadis Qudsi dari sahabat , Abu Zar al-Ghifari r.a.:

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا رَوَى عَنْ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَنَّهُ قَالَ يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا، يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ ضَالٌّ إِلاَّ مَنْ هَدَيْتُهُ فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ، يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ جَائِعٌ إِلاَّ مَنْ أَطْعَمْتُهُ فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ، يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ عَارٍ إِلاًّ مَنْ كَسَوْتُهُ فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ، يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ،

Daripada Nabi s.a.w. baginda meriwayatkan daripada Allah Tabaraka wa Ta’ala bahawa Allah berfirman: Wahai Hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku mengharamkannya diantara kamu maka janganlah kamu berlaku zalim, Wahai hamba-Ku, Kamu semua berada di dalam kesesatan kecuali sesiapa yang aku berikan hidayah kepadanya makan pohonlah hidayah kepada-Ku nescaya Aku akan memberikan kamu hidayah, Wahai hamba-Ku, Kamu semua dalam keadaan lapar kecuali sesiapa yang aku berikan makan kepadanya, maka pohonlah kepada-Ku makanan nescaya Aku akan memberikan kamu makanan, Wahai hamba-Ku, Kamu semua tidak berpakaian kecuali sesiapa yang Aku berikan kepadanya pakaian maka pohonlah kepada-Ku pakaian nescaya aku akan berikan kamu pakaian. Wahai hamba-Ku sesungguhnya kamu melakukan kesalahan di waktu malam dan siang, dan Aku menghapuskan dosa kesemuanya maka pohonlah keampunan kepada-Ku, nescaya Aku ampunkan Kamu.

Di dalam hadis yang sama Allah berfirman lagi:

يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي

Maksudnya: Wahai hamba-hamba-Ku, Kiranya semua manusia yang terdahulu dan terkemudian daripada kamu dari kalangan manusia dan jin berada di satu tempat, mereka meminta kepada-Ku, lalu Aku berikan setiap orang akan permintaannya, Yang demikian itu tidaklah mengurangkan sedikitpun apa yang ada disisi-Ku. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim: 2577)

Manusia itu akan diuji oleh Allah s.w.t. dan semakin hampir seorang hamba itu kepada Tuhannya semakin diuji. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Baqarah: 155

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ.

Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Maka orang yang paling kuat ujian yang ditempuhinya ialah Para Nabi kemudian orang-orang yang soleh dan seterusnya.

Nabi bersabda:

أشد الناس بلاء الأنبياء ، ثم الأمثل فالأمثل ، يبتلى الرجل على حسب ( وفي رواية :قدر) دينه، فإن كان دينه صلبا اشتد بلاؤه وإن كان في دينه رقة ابتلي على حسب دينه.

Maksudnya: Orang yang paling kuat ujiannya ialah para Nabi kemudian seterusnya dan seterusnya, diuji seorang itu mengikut kadar agamanya, kalau kuat agamanya maka kuatlah ujiannya, sekiranya agamanya nipis akan diuji mengikut kadarnya. (al-Tirmizi, Ibn Majah, silsilah al-Sohihah 1/225)

Di dalam hadis yang lain, Nabi bersabda:

أشد الناس بلاء الأنبياء، ثم الصالحون، إن كان أحدهم ليبتلى بالفقر، حتى ما يجد أحدهم إلا العباءة التي يحويها.

Manusia yang kuat ujiannya ialah para Nabi kemudian orang-orang soleh, seorang itu diuji dengan kefakiran sehingga tidak mempunyai apa-apa kecuali hanya Aba’ah (jubah yang dipakai diluar) yang ada padanya

Seseorang yang telah melakukan dosa di masa silamnya setelah dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat Allah akan mengampuninya. Taubat yang dilakukan hendaklah ikhlas kepada Allah, dan berjanji tidak akan mengulanginya, serta dia perlu memperbanyakkan amalan-amalan kebaikan. Khabar gembira kepada anda bahawasanya ketika sujud itulah saat ketika anda berada sangat-sangat hampir kepadaNya, doa anda akan dimaqbulkan oleh Allah

Allah s.w.t. Maha Pengampun dan Penyayang..sekiranya seseorang itu ikhlas bertaubat daripada perbuatan Syiriknya dan kembali kepangkuan Tuhannya, Allah s.w.t. akan mengampunkannya

Allah s.w.t. menciptakan semua makhlukNya ini bukanlah sia-sia. Allah s.w.t. berfirman

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لاَ تُرْجَعُونَ

Yang bermaksud: Adakah kamu menyangka bahawa sesungguhnya Kami menciptakanmu sia-sia atau main-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?

Setiap yang diciptakan mempunyai tujuan, manusia umpamanya diciptakan oleh Allah untuk mengabdikan diri kepadaNya…

Janganlah kita berputus asa dalam mencari rahmat Allah s.w.t. walaupun di dalam perjalanan tersebut kita menempuhi pelbagai ranjau yang berduri..seperti yang disebutkan sebelum ini Allah pasti akan menguji hamba-hambaNya yang hampir kepadaNya

Allah berfirman di dalam surah al-ankabut ayat 2 yang bermaksud apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan :kami beriman, sedangkan mereka belum diuji lagi…
Wallahu a’lam

0 comments:

Post a Comment