Dec 27, 2008

Ziarah Perayaan Agama Kaum Bukan Islam

Assalamu'alaikum Warah MatuLlah

Apakah hukum berkunjung pada rumah rakan2 bukan Islam dihari perayaan masing2 ? JazakaLlah

---------
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم

Jawab:

Kenapa tidak boleh? Dalil: "Allah tidak melarang kamu utk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang2 tidak memerangi kerana agama.." terjemah AQ 60:09
Islam sentiasa mengiktiraf hak manusia untuk menolak Islam dan kekal dalam agama asal mereka dan Islam juga menyambut dasar berbaik-baik antara sesama manusia. Sejarah Islam yg gemilang membuktikan Islam tidak pernah mendirikan tamaddun yg membenci manusia atas dasar berlainan agama. (Prof Syurbasyi, yas-aluunak)

_________________
SEBAGAI TAMBAHAN KEPADA APA YANG TELAH DIJELASKAN OLEH AL-FADHIL USTAZ THTL

وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih di atas soalan saudara tersebut . Sudah pasti permasalahan seperti ini merupakan permasalahan yang sangat penting untuk diketahui , memandangkan kebanyakan umat Islam sendiri sudah menetap di kawasan yang mempunyai penganut berbagai agama . Selain itu , ada pula sebahagian tokoh-tokoh agama Islam yang turut sama menziarahi rakan-rakan yang bukan Islam di hari-hari perayaan mereka . Dan sudah tentu timbul persoalan di kalangan sebahagian besar masyarakat awam : “ Adakah ulama’ ini sengaja menziarahi bukan Islam di hari perayaan masing-masing kerana kepentingan tertentu ( politik ) ??? “.

“ Bolehkah kita ke rumah-rumah terbuka yang diadakan oleh masyarakat bukan Islam pada hari-hari perayaan masing-masing ? “ . “ Tidakkah ini bermakna kita turut sama mengiktiraf segala upacara dan lebih-lebih lagi kepercayaan mereka yang bertentangan dengan Islam ? “.  ini di antara beberapa bentuk persoalan-persoalan semasa yang sentiasa berlegar-legar di dalam pemikiran umat Islam , khasnya masyarakat awam yang sentiasa terdedah dengan “ gossip “ dan “ fitnah media-massa “ yang kadang-kadang boleh menyebabkan mereka sendiri berasa ragu-ragu dengan agama Islam .

Insya-Allah , kami akan cuba memperlihatkan penyelesaian bagi kemelut ini menurut perspektif Islam itu sendiri . Dan dengan taufiq dan hidayah daripada Allah Ta’ala , berikut ini adalah jawapan kami :

( 1 ) – PANDANGAN ISLAM MENGENAI HUBUNGAN DI ANTARA SESEORANG MUSLIM ITU DENGAN GOLONGAN YANG BUKAN ISLAM ( KAFIR ) :

Dasar umum mengenai hal ini ialah Firman Allah Ta’ala di dalam Al-Baqarah : Ayat 256 :

لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

Ertinya : “ Tidak ada paksaan di dalam memeluk agama ( Islam ) “ .

( 2 ) – DUA KATEGORI ORANG-ORANG BUKAN ISLAM :

Golongan bukan Islam – yang dipanggil sebagai Kafir @ Kafirin @ Kuffar – menurut perspektif sikap mereka terhadap Islam dan umatnya , terbahagi kepada dua golongan .

Golongan Pertama : Golongan Yang memusuhi Islam dan umatnya serta menunjukkan pula sikap permusuhan mereka itu .

Golongan Kedua : Golongan yang tidak memusuhi Islam dan umatnya , dan mereka ini pula tidak menunjukkan sebarang permusuhan dan persengketaan terhadap Islam dan umatnya .

Mengenai Golongan Pertama di atas , Allah Ta’ala terlah menjelaskan sikap kita ( muslimin ) terhadap golongan ini dengan Firman-Nya di dalam Surah Surah Al-Mumtahanah , Ayat 9 :

إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Ertinya : “Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu itu sebagai kawanmu . Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim “ . [/color]

Manakala bagi golongan bukan Islam yang kedua , yang baik hubungan mereka dengan umat Islam , maka Allah Ta’ala telah mengajar kita ( muslimin ) untuk mengambil sikap yang dijelaskan Surah Al-Mumtahanah , Ayat 8 , iaitu :

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Ertinya : “ Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil “ . ( Surah Al-Mumtahanah , Ayat 8 ) . [/color]

Tidakkah kita melihat betapa umat Islam itu sendiri sudah lama berurusan dengan golongan bukan Islam ? . Bukankah ramai umat Islam yang belajar di negara-negara Barat ? , yang mana mereka itu berjiran dengan golongan yang bukan Islam , yang mana guru-guru mereka pula adalah drp kalangan masyarakat bukan Islam dan doktor-doktor yang merawat mereka dengan baik juga adalah orang-orang yang bukan Islam ? .Dan bukankah ada juga di kalangan muslimin itu sendiri hubungan kekeluargaan dan kekerabatan dengan masyarakat yang belum memeluk Islam ? .

Bukankah ada di kalangan masyarakat bukan Islam yang lebih dipercayai oleh sebahagian umat Islam daripada golongan sesama muslimin itu sendiri , kerana di kalangan umat Islam itu sendiri ada yang tidak beramal dengan ajaran Islam yang sebenar , lalu jadilah mereka manusia yang teruk perangainya dan buruk akhlaknya ? .

Bukankah realiti zaman sekarang sendiri sudah membuktikan adanya hubungan yang baik di antara golongan bukan Islam dengan muslimin , contohnya : Satu keluarga muslimin yang tinggal di sebuah taman perumahan , berjiran pula dengan jiran-jiran yang bukan Islam . Disebabkan keluarga muslimin ini hendak ke satu kawasan yang jauh , mereka sendiri meminta pertolongan daripada jiran-jiran bukan Islam untuk mengawasi rumah mereka dan juga meninggalkan kunci pendua ( spare ) kepada mereka . Bukankah ini memang benar-benar berlaku ? .

Sesungguhnya manusia itu mudah terhutang budi dengan sesama manusia , khasnya terhadap mereka yang sentiasa berbaik-baik dan berbuat jasa . Tepatlah pepatah Arab ada menyatakan :

أحسن إلى الناس تستعبد قلو بهمو # فطالما إستعبد الإنسان إحسان #
وَإِذَا حُيِّيْتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Ertinya : “Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa) [327] . Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu. “ ~ Surah An-Nisa’ , Ayat 5.

Sangatlah tidak patut seseorang Islam itu menjadi seorang yang buruk tingkah-lakunya , buruk pula akhlaknya dan keji pula kelakuannya ! . Tidaklah patut juga seseorang Islam itu menjadi manusia yang kedekut , tidak pandai bergaul – “ kera sumbang “ – dan mempunyai sikap yang pesimis lagi negatif ! . Walhal , sebenarnya umat Islamlah yang sepatutnya berakhlak mulia dan baik tutur-katanya serta mengamalkan nilai-nilai murni di dalam kehidupannya .

Bukankah Baginda Rasulullah s.a.w sendiri seorang mahaguru bagi Ilmu Akhlak Terpuji ini ? . Tidakkah Baginda s.a.w bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

Ertinya : Saidina Abu Hurairah pernah berkata : “ Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda : Orang-orang beriman yang paling sempurna iman mereka ialah golongan yang paling cantik akhlaknya “ ~ Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Ahmad (rh ) , Imam Abu Daud (rh ) , Imam Ibnu Hibban (rh) dan Imam Al-Hakim (rh) .

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri telah menegaskan di antara tujuan utama kedatangan Baginda s.a.w di kalangan umat manusia adalah untuk menyempurnakan dan membimbing manusia mempunyai akhlak yang mulia lagi terpuji . Sabda Baginda s.a.w :

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مكارمَ الْأَخْلَاقِ

Ertinya : “ Sesungguhnya aku ini diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak / tingkah-laku yang mulia “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari (rh) di dalam Al-Adab Al-Mufrad .

Tidak syak lagi sikap tidak mahu menziarahi masyarakat bukan Islam yang baik hubungan mereka dengan umat Islam , khasnya turut sama di dalam perayaan-perayaan mereka adalah satu sikap “ dingin “ yang tidak diajar oleh Islam itu sendiri . Bagaimanakah kita mahu berdakwah dengan mereka jika kita sendiri tidak pandai bergaul dengan mereka ! . Bukankah sikap “ dingin “ seperti itu akan lebih membuka ruang kepada golongan umat Islam untuk menuduh Islam ini sebagai agama yang “ berkembang dengan sebab suka berperang “ , “ agama yang mengajar taksub perkauman “ , “ agama yang pesimis “ dan seumpamanya ??? .

Bukahkah di dalam Sirah kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w sendiri menjelaskan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w sendiri bergaul dan berbaik kelakuan terhadap golongan Musyrikin ( polytheists ) Mekkah ? . Baiknya akhlak Baginda Rasulullah s.a.w ini sehingga baginda s.a.w digelar dengan gelaran “ AL-AMIN “ ( Yang beramanah @ yang boleh dipercayai ) dan terdapat juga golongan musyrikin Mekkah yang sanggup meninggalkan harta-benda yang berharga di rumah Baginda Rasulullah s.a.w kerana sangat percayanya mereka dengan sikap Baginda Rasulullah s.a.w yang sangat baik ? . Tidakkah tatkala Baginda Rasulullah s.a.w keluar berhijrah dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq (r.a ) , Baginda s.a.w telah meminta Saidina Ali (r.a ) agar mengembalikan harta-benda tersebut kepada tuan punya asal ? .

**************************************
SIKAP SYEIKHUL ISLAM , IMAM BNU TAIMIYAH (RH) DI DALAM PERMASALAHAN INI :

Ya ! memang benar Almarhum Imam Ibnu Taimiyah (rh ) merupakan salah-seorang ulama’ yang agak keras fatwanya mengenai hal ini dan mengharamkan umat Islam daripada turut sama di dalam sebarang perayaan yang dirayakan oleh golongan bukan Islam . Ini termaktub di dalam kitab karangan beliau yang begitu berharga : ‘ IQTIDHA’ AS-SIROTIL MUSTAQIM “ .

Ya ! kami tidak mengengkari sedikitpun fatwa beliau ( rh ) yang mengharamkan umat Islam merayakan perayaan-perayaan yang jelas bertentangan dengan Islam . Akan tetapi TIDAKLAH MENJADI KESALAHAN bagi seseorang muslim itu untuk sekadar bertanya-khabar , mengucapkan tahniah , berbasa-basi , berutus kad dan seumpamanya kepada golongan bukan Islam sempena perayaan mereka itu , lebih-lebih lagi terhadap golongan bukan Islam yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan seseorang Islam itu .

Dan tidaklah semestinya seseorang yang mengutus kad , berbasa-basi , menelefon dan menziarahi masyarakat bukan Islam itu TURUT SAMA MENGAKUI KESYIRIKAN , KESESATAN DAN KEENGKARAN golongan bukan Islam itu terhadap Allah Ta’ala sebagai satu-satu-Nya Tuhan Yang Wajib Disembah !!! . Kerana itu semua dilakukan hanyalah sekadar adab berhubungan dengan golongan bukan Islam dan lebih kepada “ berbasa-basi “ .

Lagipun , kebanyakan masyarakat bukan Islam itu sendiri – secara amnya – tidak lagi menganggap perayaan mereka itu sebagai satu ritual ibadah untuk mendekatkan diri mereka kepada Tuhan . Sebaliknya , menurut senario dan fenomena sekarang ini , kebanyakan mereka merayakan hari-hari perayaan mereka LEBIH BERUNSURKAN perayaan kebangsaan dan perayaan suku-kaum, yang pada hari itu mereka bersuka-ria kerana dapat berkumpul dan beramah-mesra di antara sanak-saudara dan sahabat-handai , serta dapat pula berhibur dengan berbagai juadah makanan dan minuman serta bertukar-tukar hadiah .

Dan kalaulah Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyah (rh) masih hidup lagi , tentulah beliau (rh) akan dapat melihat betapa umat Islam itu sendiri telah mendiami di dalam satu kawasan yang mempunyai berbagai kaum dan agama serta dapt pula mereka itu semua hidup di dalam keharmonian .

Dan kalaulah beliau ( rh ) masih hidup lagi , sudah pastilah beliau ( rh ) sendiri dapat melihat betapa ramainya anak-anak umat Islam yang belajar daripada golongan bukan Islam . Tidak seperti di zaman beliau ( rh ) yang mana umat Islamlah yang menjadi guru-guru kepada umat bukan Islam , di dalam segala jenis ilmu , hatta di dalam Ilmu Sains , Anstronomi, Tamadun dan kehidupan ? . Dan tentulah jika beliau ( rh ) masih hidup dan menyaksikan senario seperti beliau ( rh ) akan berkata : “ Ah ! sayang seribu kali sayang , umat Islam pula yang terpaksa ke negara-negara bukan Islam untuk menuntut ilmu pengetahuan ??? “ .

Dan kita juga percaya , jika Imam Ibnu Taimiyah ( rh ) masih hidup lagi ke saat ini ~ Allah Ta’ala Lebih Mengetahui Hakikat Sebenarnya - tentulah belliau ( rh ) akan mengubah fatwanya itu kepada bentuk yang lebih lembut dan lebih bertoleransi kerana kita yakin lagi percaya beliau ( rh ) adalah seseorang yang mengambil kira banyak faktor seperti masa , ketika , tempat dan situasi di dalam memberikan fatwanya yang berharga itu .
**************************************
KESIMPULANNYA :

1 – Umat Islam boleh merayakan perayaan-perayaan kaum dengan masyarakat bukan Islam seperti Deepavali , Gong Xi Fa Chai , Krismas , Hari Menuai , Hari Gawai dan perayaan-perayaan yang lebih berbentuk perayaan suku kaum , bukannya perayaan ibadat kebesaran khusus bagi satu-satu agama selain Islam .

2 – Adapaun perayaan-perayaan seperti Thaipusam, Wesak , Hari Kiamat ( Kristian ) , Hari Paskah ( Yahudi & Kristian ) dan seumpamanya , maka haram bagi seseorang muslim untuk turut sama meraikannya kerana itu semua adalah perayaan yang lebih berbetuk ibadat ( worship ) bagi golongan bukan Islam .

3 – Namun , setiap umat Islam mestilah berusaha menjaga batas-batas agamanya tatkala berhubungan dengan golongan bukan Islam . Dan tidak boleh sama-sekali seseorang muslim itu turut sama makan dan minum hidangan-hidangan yang HARAM semata-mata hendak “ menjaga hati tuan rumah “ . Toleransi tetap ada tetapi tidaklah sampai menggadai prinsip utama agama ! . Selain itu kaedah di dalam perundangan Islam sendiri telah menetapkan : “ Tujuan yang baik , tidak mengharuskan segala jenis cara termasuklah cara yang keji ! “ .

4 – Golongan bukan Islam sendiri akan memahami batas-batas Islam itu sendiri jika kita sendiri dapat memberitahu mereka dengan sebaik-mungkin . Apatah lagi bagi golongan cendekiawan bukan Islam yang telah terdedah dengan informasi terhadap Islam dan umatnya .

5 – Adapaun bagi perayaan-perayaan kebangsaan seperti Hari Kemerdekaan , Hari Ibu , Hari Guru , Hari Pekerja , Hari Belia , Hari Peladang & Penternak dan sebagainya , tidaklah menjadi halangan bagi seseorang Islam untuk turut sama merayakannya selama ianya tidak menggadai keimanan seseorang itu kepada Allah Ta’ala . [/color]

Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

**************************************
RUJUKAN

1 – FATAWA MU’ASIROH III ( ms 668 ) ~ Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawie
Penasihat & Mufti Negara Qatar serta Dekan Fakulti Syariah di Qatar .

2 – IQTIDHO’ AS-SIROTIL MUSTAQIM ( ms 216 ) ~ Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah (rh)
Cetakan : Maktabah At-Tawfiqiah , Kaherah .

3 – SJ - 1878 : MENZIARAHI IBU-BAPA YANG BELUM MEMELUK ISLAM
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=8150&page=0&view=collapsed&sb=5&o=&fpart=1

4 - LAIN-LAIN ( SUMBER INTERNET ) .

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

0 comments:

Post a Comment