Dec 29, 2008

Mendatangkan Roh Orang Mati

Hukum mendatang roh orang yang telah mati
Soal: Bolehkah roh orang yang telah mati kembali semula untuk meresap atauy memasukki tubuh badan orang yang hidup.
Kerana ada juga mendakwa bahawa mereka boleh 'menurun' dengan mendatangkan roh wali-wali ke dalam tubuh badannya. Apakah ini benar-benar berlaku?

-------------
Jawab:
Sebelum kita pergi ke pokok persoalan, lebih baik kita meninjau secara ringkas mengenai beberapa perkara yang akan membantu anda memahami jawpan yang akan diberikan. Perkara-perkara berkenaan ialah:
Pertama: Apa itu roh?
Kedua: Jin
Ketiga: Syaitan dan iblis
Keempat: Menurun: Bukan roh tetapi qarin
Kelima: Kesimpulan

1. Pertama: Apa itu roh?
Roh merupakan suatu rahsia yang menakjubkan. Manusia tidak diberi pengetahuan mengenainya kecuali sedikit sahaja. Hakikat roh hanya diketahui oleh Allah sahaja. (lihat firman Allah, surah al-Isra', ayat: 85).

Roh-roh (arwah) itu terdiri dari beberapa tahap alam, iaitu malaikat, jin, manusia dan binatang-binatang.

Para malaikat adalah makhluk yang bersifat taat. Mereka tidak mengingkari perintah Allah, mereka melakukan sesuatu terhadap apa yang diperintahkan sahaja. Oleh itu, mana-mana makhluk tidak dapat menguasainya (kontrol). Mereka pula tidak dapat secara langsung menolong manusia atau sesiapa sahaja kecuali dengan perintah Allah. Perkara ini pernah berlaku kepada Rasulullah s.a.w. di mana baginda meminta agar malaikat Jibril mendatangi baginda lebih kerap. Tetapi Jibril berkata, aku tidak akan turun kecuali dengan perintah Tuhan engkau.

Berdasarkan penjelasan di atas, bahawa tidak boleh samasekali seseorang manusia itu memanggil, mendatangkan salah seorang dari para malaikat Allah. Kerana mereka tidak dapat dipanggil-panggil, atau dikawal.

Bagaimana dengan roh manusia pula? Roh manusia selepas kematiannya, tiada seorangpun yang mengetahui tempat duduknya kecuali Allah sahaja. Sekalipun terdapat hadis-hadis yang menjelaskan bnahawa roh-roh orang yang mati boleh mendengar, boleh menjawab soalan Munkar dan Nakir, dapat merasa nikmat dan siksa kubur, malahan dapat menjawab salam, namun pada hakikatnya kita tidak tahu di manakah roh itu berada. Hanya Allah yang tahu. Dan roh-roh ini tidak akan kembali ke jasad kecuali pada hari kebangkitan nanti (lihat al-Quran, surah: al-Mukminun, ayat: 99-100).

Berdasarkan penjelasan di atas, adalah tidak boleh samasekali bagi seorang manusia itu menguasai (mengkontrol) roh orang mati atau menghadirkannya (seperti menurun dan sebagainya) dan bercakap-cakap dengannya.

Walabagaimanapun, boleh berlaku perhubungan antara manusia yang hidup dengan roh orang mati tanpa penguasaan terhadap roh berkenaan. Iaitulah melalui mimpi. Mimpi tersebut bukanlah dari usaha iktiar manusia, juga tiada di dalamny bentuk kontrol terhadap roh.

Kedua: Jin
Berdasarkan nash-nash yang sahih, bahawa setiap manusia itu sejak dilahirkan disertakan dengan 'qarin'. Qarin bermakna teman atau pendamping. Iaitu yang akan menemaninya sejak seseorang itu lahir hinggalah tarikh kematiannya. Qarin ini adalah dari golongan jin (syaitan). Qarin ini sentiasa mengajak manusia yang didampingi ke arah kejahatan. Perkara ini terdapat di dalam sebuah hadis riwayat Muslim:
Tiada seorangpun dari kalangan kamu kecuali ada diturutsertakan dengan qarinnya dari jin. Mereka bertanya: "Engkau pula wahai Rasulullah?" Jawab baginda: "Ya aku juga, cuma Allah telah membantuku terhadapnya, lalu dia Islam. Dia tidak akan menyuruhku kecuali kebaikkan."

Jin merupakan sejenis roh yang berakal, berkehendak dan dibebani dengan syariat sebagaimana manusia (mukallaf). Bezanya dengan manusia ialah jin tidak terbentuk dari unsur-unsur kemanusiaan (rupabentuk kasar manusia). Mereka tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Merek juga mampu membentuk diri mereka dengan pelbagai jenis rupa. Asal kejadian mereka adalah dari api (lihat al-Quran, surah: al-Hajar, ayat: 26-27)

Jin adalah makhluk yang tidak tidak diberi pengetahuan tentang alam ghaib. Seperti mereka tidak tahu apakah yang akan berlaku hari-hari mendatang, dan sebagainya.

Ketiga: Iblis dan syaitan.
Iblis 'abu syaitan' (bapa syaitan). Jika malaikat adalah tentera Allah yang mengajak kebaikkan, iblis dan syaitan adalah sebaliknya. Merek adalah musuh Allah yang menyeru ke arah kjahatan dan kerosakkan.

Syaitan ialah golongan yang angkuh dan derhaka dari alam jin. Mereka adalah dari kalangan jin juga.

Keempat: Menurun: Bukan roh tetapi qarin.
Sebagaimana penjelasan pada nombor 2, bahawa setiap manusia akan disertakan dengan qarin dari kalangan jin (syaitan). Ia akan mendampinginya dari sejak lahir hinggalah mati.

Setiap qarin mempunyai kemampuan untuk meniru tuannya dari banyak sudut, suara, gaya, rupa lahiriah, malahan yang batin juga.

Sebahagian dari manusia menjalinkan hubungan dengan qarinnya. Dia mendapat berita dan maklumat yang kononnya maklumat ghaib dari qarinnya melalui 'rasa', yang seolah-olah seperti ilham. Adakalanya melalui suara, tetapi tidak dapat dilihat yang empunya suara. Dan ada juga qarin ini membantu tuannya melakukan kerja-kerja tertentu. Dengan bantuan tersebut, kerja yang berat menjadi ringan.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa di alam Melayu ada amalan yang dinamakan menurun. Iaitu menghadirkan roh orang yang telah mati ke dalam jasadnya atau jasad seseorang. Ada juga dengan cara yang lain. Tidak kiralah bagaimana sekalipun caranya, namun yang hadir itu bukanlah roh yang dimahukan tetapi ia adalah jin atau syaitan. Ketika menurun, orang yang berada di hadapannya seolah-olah bercakap dengan roh manusia yang telah mati.

Contoh, ZZZ mahu menurun dan memanggil roh si AA yang telah mati tahun lalu, beberapa minit kemudian masuklah roh AA ke dalam jasad ZZZ. Maka berubahlah perlakuan ZZZ. Suaranya berubah menjadi suara AA. Orang-orang yang hadir ketika itu akan bertanyakan beberapa soalan mengenai AA. Roh AA itu akan menjawabnya dengan betul. Dan AA menceritakan satu persatu mengenai dirinya semasa hidup. Setelah itu, para hadirin akan yakin bahawa itu adalah roh AA. Dengan keyakinan itu, para hadirin akan mula mengemukakan soalan yang biasanya bersangkutan dengan perkara ghaib dan akan datang. Roh si AA akan menjawabnya satu persatu.

Berdasarkan penjelasan mengenai ciri-ciri qarin, maka jelasalah kepada kita bahawa contoh di atas dipenuhi dengan seribu satu macam pendustaaan dan kekaburan. Roh yang ke jasad ZZZ bukanlah roh AA, tetapi roh qarinnya. Sebab itu dia dapat meniru suara AA tanpa ada kelainan serta dapat menceritakan perihal dirinya semasa hidup tanpa gugur satu patah hurufpun. Mengenai jawapan-jawapan yang diberikan mengenai perakara ghaib, adalah dusta dan bohong semata-mata. Kerana jin dan syaitan tidak tahu tentang perkara ghaib. Dan roh manusia setelah mati tidak dapat melakukan pendustaan samasekali! Bukankah mereka ketika itu sudah berada di dalam negeri kebenaran (Darul Haq)?

Penipuan ini berlaku hanya di atas nama manusia-manusia selain dari para nabi sahaja. Syaitan boleh menipu dengan meniru suara atau rupa gaya manusia, tetapi tidak pada para nabi. Mereka tidak boleh menirunya.

Kelima: Kesimpulan
Menghadirkan roh malaikat adalah mustahil.
Menghadirkan roh orang yang telah mati adalah mustahil.
Roh yang datang ketika menurun adalah roh syaitan.
Segala perkhabaran yang disampaikan olehnya tidak boleh dipegang, kerana ada yang benar dan ada yang dusta.
Menghadirkan roh jin adalah suatu yang tidak mustahil dan boleh berlaku, kerana tiada nash yang mengatakan ia tidak boleh berlaku. (Boleh berlaku, bukannya halal dilakukan - hukumnya haram)

zain y.s

Rujukan:

Al-Quran
Shahih Muslim
Shahih Bukahri
Buhuth Wa Fatawa Islamiah Fi Qadhaya Mu'asharah - Syeik Jad al-Haq Ali Jad al-Haq.

0 comments:

Post a Comment